SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bank susulan pembekuan akaun parti sehingga hari ini.
Bersatu mendakwa tindakan pembekuan akaun yang dikenakan terhadapnya merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan Perlembagaan memandangkan parti tersebut tidak melakukan sebarang jenayah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini, Bersatu sedang membincangkan perkara itu dengan pasukan peguamnya atas dasar SPRM mengarahkan bank untuk tidak membenarkan sebarang transaksi dijalankan.
Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu juga tidak dibenarkan untuk membuka akaun baharu.
“Ini tindakan zalim, ia tidak adil. Jadi saya sudah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin untuk mengambil tindakan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan bank,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-7 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, semalam.
Pada Januari 2023, SPRM membekukan dua akaun milik Bersatu susulan siasatan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion berkaitan pelbagai pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19.
Pada Disember 2022, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pembekuan akaun Bersatu melebihi 12 bulan tanpa sebarang tindakan dikenakan adalah satu kesalahan undang-undang dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, selepas diberi taklimat oleh peguam parti, tuntutan untuk mengaktifkan semula akaun bank itu adalah wajar berdasarkan undang-undang.
Sementara itu Muhyiddin berkata, PN memutuskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Menurutnya, perjanjian MA63 itu akan menjadi induk kepada manifesto gabungan itu pada PRK kelak.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datukandee yang sebelum itu berkata, tiada satu pun kerajaan ersekutuan yang benar-benar menghormati MA63 seperti termaktub dalam Perlembagaan khususnya dalam mengembalikan bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah setakat ini.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu lagi, perkara itu sekali gus dituntut jika PN diangkat menjadi kerajaan selepas PRU-16. – UTUSAN










