APAKAH hanya sekadar angan-angan apabila Perikatan Nasional (PN) mahu menjadikan Pahang sebagai negeri kelima atau state government 5 (SG5) di bawah pentadbirannya selepas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis?
Sama ada hanya permainan persepsi dan naratif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), ia tidak boleh diperlekeh kerana mampu menjadi realiti memandangkan tiada yang mustahil di dalam politik.
Pada PRU15, buat pertama kalinya Kerajaan Negeri Pahang ‘tergantung’ kerana tidak ada mana-mana gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Pahang mempunyai 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti perlu menang 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah. Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) dan PN masing-masing menang 17 kerusi manakala lapan kerusi milik Pakatan Harapan (PH).
Selepas melalui fasa perundingan, BN dan PH akhirnya bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan negeri.
Selepas lebih dua tahun PRU15 berlalu, Pas semasa Muktamar Tahunannya di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh pada September lalu menyatakan keyakinan mampu menawan pentadbiran Pahang pada PRU16.
Hasrat mereka itu berasaskan komposisi dimiliki PN yang menguasai 17 kerusi DUN. Jika mampu mengekalkan kerusi-kerusi ini, PN memerlukan sekurang-kurangnya lima kawasan lagi untuk memperoleh majoriti mudah dengan menyasarkan kerusi majoriti Melayu. Ia tidak mustahil jika gabungan ini mampu memberi tawaran lebih baik kepada rakyat.
Namun, kerjasama politik daripada sudut aspirasi Kerajaan Perpaduan yang terbentuk di Pahang dan stabil menjadi asas untuk BN mempertahan rekod satu-satunya negeri belum pernah ditawan pembangkang bermula Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1955.
Masalah kerjasama antara parti-parti dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Pahang ketika ini adalah minimum. Kerjasama ini jika diteruskan pada PRU16 menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi PN jika mahu tema muktamarnya iaitu ‘Pas Teraju Pahang’ menjadi realiti.
Pada masa sama, kutipan hasil hatrik melebihi RM1 bilion tiga tahun berturut-turut sejak 2022 memperlihat keupayaan prestasi tadbir urus kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Akhirnya, keputusan tetap berada di tangan rakyat Pahang. Mereka lebih tahu dan berhak menilai gabungan mana yang terbaik untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU16.
Sama ada naratif menawan Pahang itu hanya angan-angan kosong atau rekod pentadbiran BN lebur di Pahang, kita tunggu dan lihat. – UTUSAN










