PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menetapkan 19 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuah yang dihadapinya.
Pada pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata, mahkamah memperuntukkan dua hari iaitu 19 dan 20 Mac 2025 untuk mendengar rayuan itu.
Mahkamah turut menetapkan 4 Mac 2025 sebagai tarikh akhir bagi kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.
Pada 9 November tahun lepas, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu didapati bersalah atas satu tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000, juga milik Armada Bersatu.
Dia juga disabitkan bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.
Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.
Syed Saddiq dijatuhi hukuman dua tahun bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, dia hanya perlu dipenjarakan lima tahun kerana kesemua hukuman berjalan serentak. – UTUSAN