Sekolah Bangsa Johor tidak bercanggah dasar pendidikan negara

Sekolah Bangsa Johor tidak bercanggah dasar pendidikan negara

AZNAN TAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor di empat buah sekolah rintis bermula tahun depan tidak bercanggah dengan silibus dan dasar pendidikan negara yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, inisiatif itu akan mengekalkan silibus sedia ada, namun melakukan penambahbaikan melibatkan beberapa elemen.

Katanya, empat sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4, SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.

“Sekolah rintis ini tidak bercanggah dengan dasar pendidikan negara, silibus KPM kekal cuma diberikan nilai tambah kepada subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Kita telah bentangkan usaha ini kepada KPM dan inisiatif ini mendapat sokongan daripada mereka. Sekiranya usaha ini berkesan tidak mustahil, ia turut digunakan dalam silibus KPM akan datang,” katanya ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.

Aznan memberitahu, seramai 40 guru bahasa Inggeris daripada empat sekolah rintis itu telah dihantar mengikuti kursus di Nanyang Technological University, Singapura.

“Empat aspek akan diberi penekanan, iaitu memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan memartabatkan Bahasa Melayu, meningkatkan kemahiran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tambah baik pentaksiran tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta menilai keputusan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini merupakan antara inisiatif yang diambil dalam me­ningkatkan kualiti pendidikan di Johor. Jika berkesan ia akan diperluas ke sekolah-sekolah lain,” jelasnya.

Pada masa sama, Aznan memaklumkan sebanyak RM6.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program rintis Sekolah Bangsa Johor selama tiga tahun.

“Usaha ini melibatkan seramai 407 pelajar di SMK Kota Puteri, 2; 532 murid di SK Kota Puteri 4, 611 pelajar di SMK Tasek Utara dan 832 murid di SK Tasek Utara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN