PUTRAJAYA: Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan dimuktamadkan secara rasmi pada Mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, segala urusan rundingan di peringkat sekretariat parti telah selesai dilaksanakan dan hanya menunggu kelulusan daripada pimpinan tertinggi.
“Bagi Johor, jumlahnya 50 lebih kerusi, cuma biasanya formaliti memuktamadkan (agihan kerusi) itu saya kena bentangkan semula kepada Majlis Presiden, sebab saya cuma menguruskan sekretariat dan melunaskan semua urusan perundingan kerusi.
“Seperti juga saya buat di Negeri Sembilan, ada 30 lebih kerusi DUN, cuma ada satu sahaja kerusi yang menjadi tuntutan bertindih, ia juga telah kita selesaikan melalui rundingan sekretariat yang berlangsung di Johor, baru-baru ini.
“Justeru, proses selanjutnya adalah untuk mendapatkan pengesahan rasmi. Satu mesyuarat Majlis Presiden yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), di situ saya akan bentangkan, baru ianya berstatus muktamad,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung status pengagihan kerusi PH susulan pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP semalam, selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Semalam, DAP mengesahkan bakal meletakkan calon di 17 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, 17 kawasan itu merangkumi 10 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas, empat kerusi yang mereka tewas, selain menyasarkan baki tiga lagi kerusi baharu.
Menurut Anthony Loke, DAP juga akan mempertahankan kesemua 11 kerusi DUN miliknya di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, tarikh bagi mesyuarat Majlis Presiden itu akan dimaklumkan kelak memandangkan Perdana Menteri dijadualkan berlepas ke Jepun hari ini.
“(Mesyuarat) dalam masa terdekat (kerana) Perdana Menteri kena pergi ke Jepun hari ini, saya pun nak kena pergi hantar beliau ke lapangan terbang,” ujarnya. – UTUSAN










