PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, perkara itu masih dalam peringkat penelitian dan akan diumumkan sebaik sahaja diputuskan oleh suruhanjaya berkenaan.
Menurut beliau, SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Johor dan kini sedang melaksanakan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang pilihan raya.
“Tarikh mesyuarat khas SPR masih belum ditetapkan. Sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam mesyuarat khas itu nanti, SPR dijangka menetapkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal serta hari pengundian bagi PRN Johor.
Semalam, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor mengenai pembubaran DUN Johor.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, notis berkenaan sudah diterima SPR semalam.
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Ke-16. – UTUSAN










