LUMUT: Terkesan dengan kesukaran orang kurang upaya (OKU) dan warga emas untuk mengecas bateri kerusi roda elektrik, timbul idea menghasilkan kerusi roda skuter dijana tenaga solar.
Kerusi roda tersebut dihasilkan empat pelajar Diploma Teknologi Automatif Institut Kemahiran Mara Lumut (IKML), sebagai projek tahun akhir mereka.
Menariknya, kerusi roda tersebut yang turut menggunakan bahan terpakai dan kos lebih murah, telah mendapat tempahan dan menarik perhatian pengunjung ketika dipamerkan pada Karnival Kerjaya IKML, semalam.
Menurut ketua kumpulan projek itu, Muhammad Alif Wajdy Baharom, 20, kerusi roda bermotor itu menggunakan panel solar berkuasa 12 voltan yang mampu digunakan untuk tempoh sehari dan boleh bergerak pada kelajuan 12 kilometer per jam.
Jelasnya, komponen utamanya ialah hub motor beserta bateri, panel solar, lampu dan alat sensor dibeli dalam talian manakala pemegang dan batang penyambung menggunakan komponen basikal terpakai.
Terangnya, kos keseluruhan projek itu ialah lebih RM1,000 yang jauh lebih murah berbanding harga kerusi roda elektrik di pasaran berharga sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
“Idea timbul selepas kajian dilakukan di hospital dan rumah jagaan warga emas dan OKU, yang mendapati kerusi roda elektrik terbiar selepas digunakan kerana kesukaran mereka untuk mengecas balik disebabkan perlu mengeluarkan baterinya.
“Jadi, kami cadangkan penyelesaian dengan penggunaan panel solar iaitu selepas digunakan, biarkan sahaja kerana ia boleh caj sendiri atau diletakkan bawah cahaya matahari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Karnival itu turut mempamerkan 50 projek iaitu 38 projek pelajar tahun akhir dan 12 projek inovasi daripada tujuh bidang pengajian.
Projek kerusi roda solar itu turut melibatkan pelajar Muhammad Farabi Mohd. Fairoze, Muhammad Nurakmal Arif Kuswandi dan Fazril Shah Mokhtar yang diselia pensyarah teknologi automatif, Noor Asyraf Ariffin.
Menurut Muhammad Alif Wajdy, mereka mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menghasilkan kerusi roda tersebut yang boleh menampung berat sehingga 120 kilogram. – UTUSAN










