KUALA LUMPUR: Gara-gara meneruskan pemanduan secara berbahaya walaupun terdapat seorang lelaki berpaut pada bonet hadapan keretanya, seorang pekerja kedai makanan segera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cubaan membunuh mangsa.
Tertuduh, Muhammad Wan Azhar Azman, 20, didakwa memandu sebuah kereta Honda Civic 1.8 yang disewanya secara berbahaya sehingga menyebabkan mangsa, Mohamed Jalil Iskandar, 28, yang berpaut di bonet hadapan kereta tercampak dan mengalami kecederaan parah yang boleh mengakibatkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 3.40 dan pukul 4 petang, 23 Oktober lalu di lampu isyarat Lebuh Perdana Timur, Presint 15, Putrajaya dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Muhammad Wan Azhar turut mengaku bersalah atas tuduhan mencuri kenderaan sama milik D. Joshua Jeyaseelan, 30, pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mohamed Jalil dan Joshua merupakan rakan kongsi perniagaan kereta sewa.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin kerana kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak boleh dijamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan, ahli keluarganya tidak hadir ke mahkamah semalam dan tinggal di asrama yang disediakan majikannya di Cyberjaya.
Hakim Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Disember ini untuk fakta kes dan jatuh hukum. – UTUSAN










