Orang Asli Bentong bekal sayur kampung pasar borong

Orang Asli Bentong bekal sayur kampung pasar borong

Darwis a/l Wong Ting Loi (kiri) menunjukkan tanaman kacang botol yang diusahakannya di Kampung Sungai Lebak, Bentong, semalam. -UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang petani Orang Asli Darwin a/l Wong Ting Loi, 40, dari Kampung Lebak di sini menjadi usahawan contoh kepada komuniti Orang Asli yang berjaya menjadi pembekal sayur-sayuran kampung segar ke pasaran Lembah Klang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Darwin berkata, sebanyak 80 tan metrik sehari sayur-sayuran yang diusahakan seperti kacang buncis, kacang botol, pisang, ubi keladi dan halia mendapat permintaan tinggi pasaran.

Katanya, lokasi tanaman yang diusahakan seluas kira-kira 5 hektar di atas sebuah bukit di kampung itu yang perlu menaiki kenderaan pa­cuan empat seperti Hilux yang mengambil masa 40 minit.

“Kawasan tanaman milik warisan keluarga diusahakan lebih 15 tahun lalu menjadi punca rezeki menyara ke­luarga. Sayur-sayuran dita­nam ‘menjadi’ atas faktor cuaca dan tanah yang subur.

“Biasanya sayur-sayuran dipetik waktu petang kerana pada setiap hari sebelum su­buh saya perlu membawa hasil pertanian di Lembah Klang seperti di Pasar Borong Sela­yang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia ketika menyertai program menyantuni petani berjaya di kebun miliknya anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Kampung Le­bak, Bentong semalam.

Menurutnya, harga sayur- sayuran segar dari Bentong dijual borong RM7 dan RM8 sekilogram mengikut pasaran.Hasil pertanian sayur-sayuran termasuk durian musang king dari Bentong mendapat permintaan tinggi dari penduduk di Lembah Klang.

Beliau berkata, kejayaan menjadi usahawan tani mendapat sokongan padu daripada Jakoa Pahang yang memberi pelbagai bantuan seperti RM3,000 dalam bentuk input pertanian seperti baja, racun serangga dan lain- lain.

“Bantuan input pertanian sedikit sebanyak dapat meri­ngankan beban kewangan untuk membaja, racun serangga dan lain-lain berikutan kenaikan kos bahan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN