KL, Lembah Klang bukan lagi lubuk rezeki

KL, Lembah Klang bukan lagi lubuk rezeki

DARI kiri: Muhammad Aiman Razik, Syamil Iman dan Muhammad Hakim Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya datang ke Kuala Lumpur dengan harapan bantu keluarga. Kini saya terpaksa memilih antara makan atau bayar bil.”

Itu luahan pekerja swasta, Muhammad Aiman Razik, 26, yang menjadi tunjang utama keluarga untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kos sara hidup untuk tinggal di bandar adalah lebih tinggi dari gaji bulanan diterimanya.

“Dengan gaji yang sedia ada, sukar untuk saya kirimkan duit ke kampung. Kadang-kadang saya terpaksa mengurangkan perbelanjaan sendiri untuk ki­rimkan sedikit duit kepada orang tua di kampung.

“Saya datang ke sini dengan harapan untuk bantu keluarga di kampung. Kini setiap bulan saya berdepan dengan cabaran untuk cukup makan. Kadang-kadang rasa seperti terpaksa memilih antara makan atau bayar bil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang peniaga, Syamil Iman, 29, pula berkata, tekanan kerja di Kuala Lumpur meningkat mengikuti kos kehidupan di bandar.

“Gaji di Kuala Lumpur tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kenaikan harga sewa dan barangan asas. Kadang-kadang terfikir, adakah berbaloi untuk tinggal di sini?.

“Saya hanya terfikir untuk pulang ke kampung halaman dan berniaga serta mengusahakan tanaman sahaja. Walaupun tidak mendapat keuntungan yang banyak malah saya rasa ia tidak membebankan saya seper­ti tinggal di bandar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pe­kerja kontraktor swasta, Muhammad Hakim Johari, 25, turut meluahkan perkara sama.

Muhammad Hakim Joha­ri berkata, ramai rakannya da­lam sektor tersebut sudah mu­la berhijrah ke bandar kecil atau negeri lain kerana merasa bandar Kuala Lumpur tidak lagi menjamin pulangan yang diharapkan.

“Sangat penat. Kami kerja dari pagi hingga malam tetapi gaji tak sepadan. Kalau dulu dapat kumpul sikit-sikit untuk hantar ke kampung. Sekarang untuk cukup makan pun susah.

“Ada yang mengalami ma­salah kesihatan mental akibat tekanan untuk terus bertahan di ibu kota semakin tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN