PETALING JAYA: Kenaikan kadar premium insurans kesihatan memberi kesan kepada sektor gig terutama pada insurans tambahan bagi pemandu e-hailing.
Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, kadar insurans tambahan yang meningkat sehingga 40 peratus setiap tahun itu tidak mempunyai sebab jelas.
Katanya, kenaikan itu bukan sahaja membebankan pemandu, malah mampu menjejaskan industri e-hailing secara keseluruhan.
“Kadar premium insurans tambahan untuk pemandu e-hailing terus meningkat mendadak melebihi 40 peratus setiap tahun tanpa justifikasi yang jelas.
“Dalam sesi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), ia dikatakan berlaku disebabkan liberalisasi industri insurans dan undang-undang sedia ada yang membenarkan pihak insurans menetapkan kadar sesuka hati.
“Alasan ini tidak sepatutnya dijadikan justifikasi untuk membiarkan syarikat insurans bertindak sewenang-wenangnya tanpa kawalan dan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, akhbar ini melaporkan polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu.
Tambah beliau, pihak berwajib juga perlu menilai semula dasar liberasi yang memberikan kebebasan kepada syarikat insurans.
Katanya, ia memerlukan mekanisme kawalan harga agar seperti penetapan had kenaikan bagi memastikan kadar yang munasabah diberikan kepada pengguna.
“Persoalannya, jika BNM sendiri mengakui bahawa mereka tidak dapat mengawal situasi ini, siapakah pihak yang harus dipertanggungjawabkan?.
“Kami percaya bahawa isu ini memerlukan perhatian segera demi melindungi kebajikan rakyat dan memastikan keadilan dalam sistem insurans di Malaysia.
“GEM akan terus memperjuangkan hak dan kebajikan pemandu e-hailing serta pekerja sektor gig lain dalam isu ini,” katanya. – UTUSAN










