Objek asing di Pantai Nenasi timbulkan tanda tanya

Objek asing di Pantai Nenasi timbulkan tanda tanya

OBJEK tidak dikenal pasti yang disyaki serpihan jatuh dari angkasa ditemukan di Pantai Nenasi, Pekan, Pahang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penduduk Kampung Tanjung, Nenasi di sini mendakwa sudah biasa menemukan objek asing yang terdampar di pantai selepas dihanyutkan arus dan ombak besar setiap kali musim tengkujuh.

Namun rata-rata penduduk yang ditemui mengakui pene­muan satu objek ‘tidak dikenal pasti’ di pantai berkenaan Rabu lalu agak pelik dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka.

Objek berupa serpihan berukuran kira-kira 4.26 meter panjang dan 3.64 meter lebar itu disyaki jatuh dari angkasa ke dalam laut sebelum terdampar di kawasan pantai berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nenasi Pantai, Mohd. Rodzi Harun berkata, dia hanya menge­tahui penemuan itu melalui kumpulan WhatsApp penduduk.

“Saya difahamkan objek berkenaan dijumpai oleh penduduk di sini yang kebetulan datang beriadah di pantai berkenaan dan berita mengenainya mula tersebar di kalangan penduduk sejak semalam. Memang diakui objek itu agak pelik sehingga ramai yang buat pelbagai andaian, ada yang kata ia serpihan kapal terbang dan macam-macam lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan di kampung berkenaan, Mohd Faizal Ibrahim, 47, berkata, setiap kali musim tengkujuh, keadaan pantai dipenuhi timbunan kayu dan sisa hanyut termasuk sampah-sarap.

“Memang biasa pada musim begini penduduk menemukan objek-objek pelik di kawasan pantai seperti serpihan kontena atau dinding kapal. Tetapi objek kali ini memang kami tidak pasti apa dan kalau boleh kami nak juga tahu apa sebenarnya objek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, penemuan itu telah dirujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Sebuah pasukan terdiri daripada pegawai Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Jabatan Tenaga Atom Malaysia (JTAM) Cawangan Pantai Timur dan Agensi Angkasa Malaysia telah ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut. Hasil ujian awal mendapati objek berkenaan bebas daripada sebarang radiasi dan tidak mendatangkan ancaman kepada keselamatan awam,” katanya.

Jelasnya, objek berkenaan telah dialihkan dari lokasi penemuan ke Balai Polis Nenasi untuk simpanan sementara sebelum dibawa ke MOSTI bagi tujuan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mengesyaki objek tersebut merupakan serpihan yang jatuh ke dalam laut sebelum dihanyutkan arus ke pantai Nenasi. Setakat ini, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti asal-usul sebenar objek berkenaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN