Op Soga XI : 554 ditahan, wang pertaruhan lebih RM 3 juta dirampas

Op Soga XI: 554 ditahan, wang pertaruhan lebih RM 3 juta dirampas

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 554 individu termasuk 213 warga asing ditahan dalam 422 serbuan yang dijalankan sepanjang operasi membanteras aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian di seluruh negara.

Kesemua suspek terdiri daripada 508 lelaki dan 46 wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pertaruhan bola sepak serta promosi perjudian melalui pelbagai platform termasuk laman web, aplikasi dan media sosial.

Dalam operasi berkenaan, wang tunai berjumlah RM167,062.09, selain mengesan nilai pertaruhan mencecah RM3,249,384.34 turut dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 263 laman sesawang dikenal pasti digunakan bagi aktiviti berkenaan sebelum tindakan sekatan dan penurunan kandungan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Imigresen 1959/63 termasuk kesalahan mengendalikan dan mempromosikan pusat perjudian serta pengutip pertaruhan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, operasi bersepadu dikenali sebagai Op Soga XI akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara bagi membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan haram sepanjang Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.

Jelasnya, PDRM kekal komited untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram di balai polis berhampiran bagi membantu usaha pembanterasan secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN