Zakat ringan beban sekolah anak asnaf

Zakat ringan beban sekolah anak asnaf

BAZLAN Abd. Rahman (tengah) menyampaikan sumbangan zakat kepada Asnan Othman (kanan) pada Majlis Penyerahan Zakat Ketengah Holdings peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Kuala Terengganu.- UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bantuan zakat yang disalurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit oleh Ketengah Holdings memberi manfaat kepada penerima bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

Dalam agihan tersebut, seramai 130 penerima dalam kalangan golongan asnaf dan pelajar menerima bantuan sebanyak RM150 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan RM19,500.

Penerima zakat, Asnan Othman, 47, dari Kampung Wakaf Chagak berkata, bantuan yang diterima sangat bermakna bagi keluarganya untuk memastikan anak-anak dapat terus bersekolah.

Bekas anggota tentera itu menghidap penyakit kencing manis kronik sehingga menyebabkan kakinya dipotong hingga ke paras lutut kira-kira tiga tahun lalu, selain disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.

“Saya mempunyai enam anak dan empat daripadanya masih bersekolah. Wang zakat ini kami gunakan untuk membeli buku dan keperluan sekolah anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Isterinya, Noridawaty Abd. Rani, 43, pula bekerja di sebuah kedai makan dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan bagi menyara keluarga.

Menurut Asnan, dua daripada anak mereka merupakan orang kurang upaya (OKU), iaitu Ahmad Daniel Aiman, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengabang Lekar yang mengalami masalah pendengaran dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM400 sebulan, manakala Ahmad Daniel Syawal, 15, pula mempunyai masalah fizikal.

“Kami berterima kasih atas sumbangan zakat ini kerana benar-benar meringankan beban. Kalau tidak ada duit, anak-anak mungkin tidak dapat ke sekolah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×