Sistem perparitan tidak diselenggara, petani ibarat ‘anak tiri’

Sistem perparitan tidak diselenggara, petani luar jelapang ibarat ‘anak tiri’

PETANI di Kampung Buluh Hilir, Setiu, Terengganu menunjukkan sistem perparitan dan saluran di kawasan sawah padi mereka yang tidak diselenggara sehingga ditutupi semak-samun. – UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sistem perparitan yang tidak diselenggara di kawasan sawah menjejaskan seramai 90 petani yang mengusahakan ta­naman padi di Kampung Buluh Hilir, di sini.

Seorang petani, Marzuki Ibrahim, 52, berkata, keadaan itu berlarutan sejak tiga tahun lalu mengakibatkan saluran yang sedia ada ditumbuhi semak-samun dan menjejaskan aliran keluar masuk air ke dalam petak sawah.

“Aduan telah beberapa kali diajukan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan diambil dan dikatakan tidak mempunyai peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan di luar jelapang padi.

‘’Petani sangat kecewa de­ngan jawapan yang diberikan oleh pihak terbabit dan kami yang mengusahakan tanaman padi di luar jelapang ini seperti ‘dianaktirikan’ meskipun turut menyumbang hasil kepada negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Buluh Hilir di sini.

Katanya, keadaan itu menimbulkan banyak masalah kepada petani sekali gus menyebabkan tanaman mereka terjejas sehingga terpaksa menanggung kerugian.

Menurut Marzuki, padi yang ditanam sebelum ini te­lah mendapat Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) tetapi apabila berlaku masalah sistem pengaliran tersebut kualitinya turut terjejas dan sebahagian kawasan sawah tidak dapat digunakan.

Seorang lagi petani, Naza­rul Hanif Nawang, 27, berkata, menyelenggara sendiri sistem perparitan itu memerlukan perbelanjaan tinggi dan tidak cukup sekiranya hanya kawasan persendirian sahaja yang dibersihkan.

“Sebelum ini, kami ada mela­kukan gotong-royong dalam kalangan petani tetapi semak-samun kembali tumbuh dalam masa singkat, yang mana saluran longkang ini menjadi cetek dan dipenuhi lumpur.

“Kami memerlukan jentera jengkaut bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan tersebut namun kosmya sangat tinggi,” katanya.

Bagi Mohd. Fauzi Kasim, 52, masalah saliran itu menyebabkan berlakunya air termenung apabila paras air di dalam parit dan petak sawah di aras yang sama.

Selain itu, petani juga tidak dapat ‘membuang’ air untuk aktiviti membajak, membaja serta meracun padi. Situasi itu telah membuatkan air menjadi ‘masam’ dan PH tanah berubah.
Susulan keadaan air itu membuatkan benih padi yang baru ditabur tidak dapat bertunas dan sebahagian besarnya akan rosak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×