GTSM sambut baik pengharaman NGV, mohon diberi subsidi

GTSM sambut baik pengharaman NGV, mohon diberi subsidi

Laporan Utusan Malaysia 5 November 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pengumuman pemberhentian penggunaan kenderaan berkuasa bahan api gas asli mampat (NGV) yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 dianggap sebagai bermaruah oleh pihak Gabungan Teksi Malaysia (GTSM).

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Foke itu lebih bermaruah jika dibandingkan dengan tindakan Petronas sebelum ini.

“Petronas memberhentikan penjualan NGV di kebanyakan stesen NGV secara senyap-senyap sehingga menyebabkan ramai ahli-ahli kami terkesan.

“Mereka mengambil langkah dengan menanggalkan sistem NGV dalam kenderaan teksi tanpa sebarang pampasan, jadi kami berpandangan keputusan yang diambil kerajaan ketika ini adalah lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MoT) mengumumkan kenderaan NGV tidak akan lagi dibenarkan beroperasi di Malaysia mulai 1 Julai 2025, susulan keputusan Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu.

Langkah itu diambil atas dasar keselamatan setelah didapati bahawa sebahagian besar kenderaan NGV di negara ini berada dalam fasa akhir hayat tangki bahan api mereka.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, persatuan yakin kerajaan akan memastikan bantuan sewajarnya kepada pemandu teksi yang terjejas, terutamanya melalui pemberian subsidi petrol.

Katanya, pada November tahun lalu, Perdana Menteri sudah memaklumkan kerajaan akan memberi subsidi bahan bakar petrol kepada pemandu teksi.

“Kami yakin dalam tempoh setahun sebelum pengharaman NGV, kerajaan akan melaksanakan subsidi petrol kerana bahan bakar ini lebih mudah diperoleh berbanding NGV.

“Pengumuman ini adalah langkah tepat dalam memastikan kebajikan pemandu teksi terus terjaga, terutamanya selepas mereka terpaksa beralih daripada NGV kepada bahan bakar konvensional yang lain seperti petrol,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, program Bantuan Peralihan NGV bagi pemilik yang terkesan juga membantu pemandu teksi agar tidak bergelut dengan masalah kekurangan stesen NGV yang sebelum ini sering ditutup tanpa notis atau mengalami kerosakan.

“Dengan bantuan kerajaan dan pelan peralihan yang jelas, saya berharap masa depan industri teksi akan terus terjamin walaupun selepas penggunaan NGV dihentikan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN