KOTA TINGGI: Dua sahabat yang terpedaya dengan tawaran gaji RM4,000 berjaya diselamatkan daripada terus menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
Mangsa yang menetap di Felda Air Tawar 4 di sini, pada awalnya ditawar bekerja di kasino, sebaliknya dipaksa menjadi scammer dan bekerja selama 18 jam bermula pukul 7 pagi.
Lebih menyedihkan, mereka yang mula bekerja mulai April lalu tidak dibayar gaji turut ditahan imigresen Kemboja sejak September lalu selepas lokasi tempat mereka bekerja di bandar Sihanoukville, Cambodia diserbu.
Penderitaan mereka bagaimanapun berakhir selepas diselamatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang membantu urusan mereka kembali ke tanah air.
Mangsa, Nurazlin Zulkifli, 28, berkata, dia bertolak ke Kemboja pada 18 April lalu manakala rakannya, Mohd. Sofi Khairul Fadzilah, 33, datang seminggu kemudian.
“Saya sampai dahulu baru ajak Mohd. Sofi. Bila sampai saya bekerja sehari di kasino selepas itu majikan maklumkan cuti seminggu kerana tidak ramai pekerja. Selepas kawan saya sampai, esoknya baru kami mula bekerja dan baru tahu ditipu selepas dipaksa kerja sebagai scammer yang menyasarkan orang di Malaysia.
“Tempat tidur, makan semua mereka bagi, tiket juga majikan yang belikan. Pada awalnya kami dilayan dengan baik namun lama-lama bila tidak dibayar gaji, kami minta mahu balik Malaysia namun mereka ugut suruh bayar RM30,000.
“Lokasi tempat kami bekerja kemudian diserbu dan kami semua termasuk lapan lagi warganegara Malaysia dari Sarawak ditahan pihak imigresen,” katanya dalam sidang akhbar bersama Azalina di sebuah hotel di Bandar Penawar, di sini semalam.
Dalam pada itu, Azalina berkata, selepas dimaklumkan perkara itu yang turut melibatkan mangsa dari kawasan Parlimennya, beliau terus berhubung dengan Wisma Putra.
“Saya dimaklumkan proses bawa balik mereka makan masa, memerlukan kos yang banyak dan susah sebab itu kita panggil duta Kemboja untuk bincang dan Alhamdulillah dalam seminggu selesai.
“Mereka bernasib baik dan kita tidak boleh anggap ini perkara main-main. Isu sekarang walaupun sayang anak kena tegur mereka. Nasib mereka baik jika tidak kita difahamkan mereka akan ditahan untuk tempoh enam bulan lagi,” katanya. – UTUSAN










