MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan helikopter sebagai persiapan melaksanakan operasi membantu mangsa banjir di tiga negeri di Pantai Timur pada musim tengkujuh ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter AW189 itu telah ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini.
“Sesi taklimat khas secara menyeluruh berkenaan pengoperasian pesawat terbabit akan dijalankan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik terutama jika berlaku bencana banjir luar jangka.
“Kemudahan helikopter ini bagi membolehkan pihak bomba bergerak lebih cepat ke kawasan bencana atau berisiko bagi membantu mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Bomba Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dekat sini, semalam dengan seramai 205 pelatih menerima sijil tamat latihan tersebut.
Nor Hisham berkata, pihak JBPM juga bersedia melaksanakan pembekuan cuti membabitkan kira-kira 6,000 anggotanya di lima buah negeri diramal berdepan banjir sepanjang musim tengkujuh kali ini iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Sarawak.
“Ketika ini hanya 20 peratus pegawai dan anggota dibenarkan bercuti secara berkala.
“Bagaimanapun, minggu lepas kita sudah maklumkan kepada semua Pengarah Bomba Negeri yang dijangka terlibat banjir supaya siap sedia keluarkan arahan pembekuan cuti dan pertukaran syif anggota dari 12 jam ke 24 jam pada bila-bila masa,” ujarnya. – UTUSAN










