KUALA LUMPUR: Yayasan Jeffrey Cheah (YJC) menyalurkan biasiswa bernilai RM75 juta kepada lebih 1,000 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Sejak penubuhannya, sebanyak RM745 juta nilai biasiswa telah dianugerahkan kepada ribuan pelajar yang layak.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Universiti Sunway di sini, hari ini.
Pengasasnya, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, penganugerahan biasiswa itu mencerminkan komitmen YJF terhadap pembangunan negara menerusi pendidikan berkualiti.
Katanya, hal ini penting dalam mewujudkan masa depan yang lebih progresif, mampan serta inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
“Selaku penyokong tegar pendidikan berkualiti, penyelidikan bertaraf dunia dan pembangunan mampan, matlamat peribadi saya adalah untuk memberikan biasiswa bernilai bilion ringgit kepada mereka yang layak menerima.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen YJF terhadap pembangunan negara melalui pendidikan berkualiti, satu program pembangunan profesional guru telah dilancarkan bagi memajukan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) di negara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah dan Biasiswa 2024.
Turut dikurniakan ialah Biasiswa Kecemerlangan Universiti Sunway-Victoria, Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk bidang Seni Kreatif dan Muzik serta Biasiswa Komuniti YJC. – UTUSAN










