BAGAN DATUK: Kursus yang ditawarkan disesuaikan dengan kehendak semasa industri menjadikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama dalam kalangan pelajar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi pendekatan ‘TVET High’ yang dilaksanakan, ia memberi penekanan kepada silibus dibentuk berdasarkan permintaan pemain industri dan pasaran pekerjaan semasa.
Menurutnya, kursus ditawarkan tidak lagi bergantung kepada silibus lama sebaliknya disusun mengikut keperluan sektor pekerjaan termasuk bidang kenderaan elektrik, Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan memberikan penekanan kepada High TVET, ertinya silibus yang terbentuk daripada permintaan pemain industri.”
“Kursus dibuat bukan berdasarkan silibus lama, tetapi berdasarkan permintaan pasaran pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 di Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, peluncuran MARA Prihatin di sini meneruskan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Menurutnya, program itu memperlihatkan keperhatinan MARA dalam pelbagai aspek, tidak hanya dalam bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi, TVET dan sosial.
“MARA juga memberikan potongan atau diskaun kepada penyewa-penyewa di bawah premis MARA sebanyak 20 peratus, sebagaimana yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri. Pemotongan sewa 20 peratus ini akan berkuatkuasa 1 Jun ini.
“MARA membantu menangani permasalahan rakyat yang mendapat pinjaman ataupun bantuan daripada MARA dalam situasi geopolitik Asia Barat yang tidak menentu,” katanya.
MARA Prihatin 2026 melibatkan kerjasama strategik antara Yayasan Pelajaran MARA (YPM), GiatMARA, Rural Capital Berhad (RCB), Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelbagai rakan industri dan sektor korporat.
Ia melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM12.5 juta dan akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 penerima.
Pada program di sini, seramai 2,946 pelajar hadir dan menerima sumbangan berjumlah RM560,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA. – UTUSAN










