Pemuda UMNO sedia terima ahli Bersatu yang dipecat

Pemuda UMNO sedia terima ahli Bersatu yang dipecat

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO terbuka menerima mana-mana bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat daripada parti itu sekiranya merasakan perjuangan parti itu selari dengan prinsip serta pendirian mereka.

Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, parti itu sentiasa mengalu-alukan kehadiran individu yang mahu bersama memperkukuhkan perjuangan UMNO terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang telah dipecat daripada Bersatu dan merasakan perjuangan UMNO selari dengan prinsip serta perjuangan mereka untuk kembali bersama parti ini.

“UMNO sentiasa terbuka kepada mereka yang benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan agenda rakyat dan memperkukuhkan parti,” katanya ketika ditemui dalam Forum Rundingan Meja Bulat Nasional RIMBUNAN 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, manakala enam lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, kedua-duanya ADUN di Kedah.

Enam wakil rakyat Bersatu yang digantung keahlian pula membabitkan lima Ahli Parlimen dan seorang ADUN iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN