PUTRAJAYA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) mengagihkan kira-kira RM700 juta kepada 1.5 juta penerima manfaat sejak 40 tahun lalu.
Sepanjang tahun lalu sahaja, sejumlah RM30.7 juta diagihkan yang memanfaatkan kira-kira 1.5 juta penerima.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, pihaknya amat komited dengan mandat diberi kerajaan dalam usaha memperkasa ekonomi ummah dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik, efisyen dan berintegriti.
“Kami berpegang kepada tiga teras utama, iaitu pembangunan sosial, pendidikan dan pembangunan
ekonomi Islam dalam menggerakkan agensi ini.
“Malah, dalam pembangunan sosial pula, kami menyediakan program komuniti untuk tempoh tiga tahun bagi satu-satu lokasi yang dipanggil Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM atau PPKY,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Serantau YAPEIM 2024 atau FSY2024, di sini hari ini.
Mohd Radzif berkata, pihaknya juga menitikberatkan penyediaan aktiviti dan bantuan pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun di peringkat menara gading dengan harapan penerima manfaat dan keluarga dapat keluar daripada kemiskinan.
Menurutnya, dalam pembangunan ekonomi Islam pula, YAPEIM mula berkecimpung dalam perniagaan Ar-Rahnu YAPEIM supaya dapat menyediakan perkhidmatan pembiayaan mikro kepada masyarakat.
“Selain itu, kami juga terlibat dalam program keusahawanan dalam kalangan kumpulan nano dan mikro secara bersama dengan SME Bank dan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) yang bermula 10 tahun dulu,” katanya. – UTUSAN