Dunia jejak pesakit terjejas hantavirus

Dunia jejak pesakit terjejas hantavirus

SEORANG lelaki memakai sut hazmat diiringi ke ambulans dari sebuah pesawat perubatan membawa beberapa penumpang kapal persiaran MV Hondius yang dijangkiti hantavirus di lapangan terbang Schiphol berhampiran Amsterdam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Negara-negara di seluruh dunia mempergiat usaha bagi membendung penularan lanjut hantavirus, susulan satu wabak dikesan di atas sebuah kapal persiaran MV Hondius minggu lalu.

Langkah pengesanan kini giat dijalankan bagi menjejak penumpang yang turun lebih awal sebelum virus itu dikenal pasti, serta individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka selepas itu.

Semalam, seorang lagi warga Britain ketiga didiagnosis dengan jangkitan yang disyaki berpunca daripada hantavirus yang dikaitkan dengan wabak di atas kapal persiaran tersebut.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkata, pihaknya memantau rapat situasi tersebut, sambil menegaskan risiko kepada orang awam ketika ini adalah sangat rendah.

Jabatan Kesihatan Georgia pula berkata, ia turut memantau dua penduduk tanpa gejala yang pulang ke rumah selepas turun daripada kapal persiaran tersebut.

Kelmarin, Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA) berkata, dua rakyatnya yang berada di atas kapal MV Hondius dikuarantin di Pusat Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit, sebelum disahkan negatif virus tersebut.

Dalam insiden berkenaan, tiga kematian dilaporkan membabitkan pasangan suami isteri dari Belanda dan seorang warga Jerman.

Secara keseluruhan, lima orang disahkan dijangkit virus itu, dengan tiga lagi kes disyaki, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hantavirus biasanya disebarkan oleh tikus, namun dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menular dari manusia ke manusia.

Semua penumpang yang turun di St Helena di Lautan Atlantik Selatan, iaitu tempat kapal tersebut singgah pada 24 April, dihubungi oleh pengendali kapal persiaran tersebut.

Mereka termasuk individu dari sekurang-kurangnya 12 negara, termasuk tujuh warga Britain dan enam lagi rakyat AS. Kes pertama yang disahkan dalam wabak hantavirus dikesan pada awal Mei.

WHO menegaskan semula risiko kepada orang awam adalah rendah, walaupun strain Andes bagi virus tersebut dikesan pada beberapa mangsa, dalam kes yang jarang berlaku boleh berjangkit di kalangan manusia.

“Ini bukan koronavirus, ini adalah virus yang sangat berbeza. Ini bukan situasi sama seperti yang kita alami enam tahun lalu,” kata Pengarah Pengurusan Wabak dan Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove.

WHO berkata, ia sedang menyediakan panduan bagi menguruskan puluhan penumpang yang masih berada di atas kapal, belayar menuju ke Kepulauan Canary, apabila mereka tiba pada Sabtu dan Ahad serta turun untuk pulang ke negara masing-masing.

Setakat ini, tiada seorang penumpang tersebut menunjukkan sebarang gejala.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN