ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan berbincang secara terperinci berhubung kedudukan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Exco yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum menentukan sebarang keputusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya tidak akan bertindak terburu-buru kerana setiap keputusan perlu mematuhi prosedur pentadbiran selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menurut beliau, buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa, sementara menunggu menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa berkaitan isu tersebut.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau mengulas kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis selepas kedua-duanya dipecat Bersatu, semalam.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, kedua-dua ADUN berkenaan juga bukan pembangkang di negeri ini, sebaliknya wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan negeri.
Menurut beliau, surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran Exco dan Timbalan Speaker sebenarnya telah diterima sebelum ini, namun kerajaan negeri tidak mengambil tindakan kerana kedua-dua pemimpin terbabit pada ketika itu masih ahli Bersatu.
Tambahnya, perkara itu dibincangkan ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah pada 10 April lalu.
“Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.
Semalam, Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, Dzowahir dan Abdul Razak dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli. – UTUSAN










