Kerajaan Persekutuan perlu semak semula sekatan eksport pasir

Kerajaan Persekutuan perlu semak semula sekatan eksport pasir

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang untuk mengurus sumbernya secara lebih efektif, selaras dengan kepentingan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendekatan terhadap isu pasir tidak wajar dilihat hanya dari sudut komoditi ekonomi semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aspek keselamatan rakyat dan pengurusan banjir.

“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir. Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibatnya.

“Kepimpinan yang baik bukan sekadar mempertahankan dasar, tetapi bersedia mendengar, memahami dan menyesuaikan pendekatan berdasarkan realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkaitan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan usaha Kerajaan Negeri Pahang untuk menambah hasil negeri, termasuk melalui eksport pasir sungai.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, beliau melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang disifatkan kurang tepat dan tidak wajar apabila dikaitkan dengan titah Tengku Hassanal.

Katanya, kenyataan tersebut seolah-olah menggambarkan titah berkenaan tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro, sekali gus tidak mencerminkan kepekaan terhadap institusi diraja serta keadaan sebenar di peringkat negeri.

“Perlu difahami bahawa perkara yang dibangkitkan dalam titah tersebut bukan sekadar isu ekonomi, tetapi berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat dan kelestarian negeri.

“Banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius hingga menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek. Keadaan ini meningkatkan risiko limpahan air dan banjir, khususnya ketika musim hujan.

“Justeru, kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut,” katanya.

Tambah beliau, usaha berkenaan bagaimanapun memerlukan kos tinggi dan cadangan menjual pasir yang dikorek boleh membantu menampung kos serta berpotensi menambah hasil negeri secara sah.

Katanya, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir telah menjejaskan usaha tersebut kerana kekurangan saluran pasaran boleh menyebabkan lambakan pasir, sekali gus memburukkan keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan.

“Oleh itu, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan pengurusan sumber secara bijaksana. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN