Tuntut anak-anak, ibu dan bapa perlu ditemu bual - Nancy

Tuntut anak-anak, ibu dan bapa perlu ditemu bual – Nancy

Nancy Shukri
NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang ingin menuntut kanak-kanak di bawah perlindungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu melalui sesi temu bual terlebih dahulu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana berlaku perebutan hak penjagaan antara ibu dan bapa membabitkan kanak-kanak GISBH yang menjadikan proses permohonan menjadi lambat.

“Kita kalau boleh, memang mahu mempercepatkan proses permohonan tuntutan itu untuk dikemukakan ke mahkamah, namun proses itu, tidak semudah yang disangka.

“Sebab ada kes yang kita terima, ibu failkan permohonan dan bapa pun failkan permohonan, berlaku perebutan di situ.

“Disebabkan itu, kita sebagai badan bertanggungjawab kena lebih berhati-hati, sebab itu ibu dan bapa ini akan melalui sesi temu bual dahulu,” katanya ketika menghadiri Majlis Kesedaran Kanser Payudara: Body Perfect’s The Power Of Pink 2024 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel di sini hari ini.

Khamis lalu, akhbar ini melaporkan, terdapat 98 permohonan menuntut kanak-kanak GISBH yang berada di bawah KPWKM.

Setakat ini, 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan yang ditahan dalam Op Global ditempatkan di pusat perlindungan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelasnya, matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN