Ketegangan geopolitik di Asia Barat menimbulkan kebimbangan baharu terhadap kestabilan sistem makanan dunia. Walaupun kesan terhadap bekalan makanan negara masih belum dirasai secara menyeluruh, peningkatan harga tenaga dan kos logistik yang berterusan dijangka memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan global.
Dalam menghadapi cabaran ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai universiti peneraju dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan sentiasa memainkan peranan membantu negara melalui penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi yang meningkatkan daya tahan sistem agromakanan.
Kepakaran multidisiplin yang dimiliki UPM merangkumi keseluruhan rantaian nilai makanan daripada pengeluaran, pemprosesan, keselamatan makanan sehingga kepada pembangunan dasar berasaskan bukti bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Hakikatnya, pengeluaran makanan moden amat bergantung kepada tenaga. Penggunaan bahan api, baja, sistem pengairan, jentera serta logistik menyebabkan peningkatan harga tenaga memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan pengedaran makanan. Apabila kos tenaga meningkat, keseluruhan rantaian bekalan makanan turut menerima tempiasnya.
Keadaan ini memberi implikasi besar kepada Malaysia yang masih bergantung kepada import bagi memenuhi sebahagian keperluan makanan asas seperti beras, produk tenusu dan daging merah.
Kesan krisis tenaga terhadap keterjaminan makanan boleh dilihat melalui empat dimensi utama. Pertama ialah aspek ketersediaan makanan. Peningkatan kos pengeluaran menyebabkan penggunaan input pertanian seperti baja semakin berkurangan akibat harga yang tinggi dan akibatnya hasil pengeluaran menurun.
Kedua ialah aspek kebolehcapaian makanan. Peningkatan harga minyak meningkatkan kos pengangkutan dan logistik yang akhirnya diterjemahkan kepada harga makanan yang lebih tinggi di pasaran. Keadaan ini menghakis kuasa beli isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang memperuntukkan sebahagian pendapatan untuk makanan.
Ketiga ialah aspek penggunaan makanan. Apabila harga makanan meningkat, pengguna cenderung beralih kepada makanan lebih murah tetapi kurang berkhasiat bagi mengurangkan perbelanjaan. Situasi ini boleh menjejaskan kepelbagaian diet dan meningkatkan risiko masalah pemakanan dalam jangka panjang.
Keempat ialah aspek kestabilan bekalan makanan. Sebagai negara yang masih bergantung kepada import makanan asas, Malaysia amat terdedah kepada gangguan rantaian bekalan antarabangsa, perubahan harga komoditi dan konflik geopolitik yang berpanjangan. Walaupun mempunyai stok penimbal bagi beberapa komoditi strategik, daya tahan sistem itu tetap mempunyai had sekiranya krisis berlarutan.
Justeru, negara perlu melaksanakan langkah segera melalui gabungan strategi jangka pendek dan jangka panjang. Dalam tempoh terdekat, keutamaan perlu diberikan kepada penstabilan harga, memastikan bekalan makanan cukup serta melindungi golongan rentan melalui subsidi bersasar, pengukuhan stok penimbal, bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan usaha mengurangkan pembaziran makanan.
Bagi jangka panjang pula, transformasi sektor pertanian perlu dipercepatkan melalui penggunaan teknologi moden, pertanian pintar, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta peningkatan produktiviti sektor agromakanan.
Dalam konteks ini, penyelidikan dan inovasi memainkan peranan yang sangat penting. UPM terus menerajui pelbagai penyelidikan berkaitan pembangunan varieti tanaman yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim, teknologi pertanian tepat, penggunaan kecerdasan buatan dalam pengeluaran makanan, inovasi makanan ternakan tempatan serta penyelesaian berasaskan sains bagi meningkatkan kecekapan sektor agromakanan negara.
Kerjasama serantau juga semakin penting. Melalui platform seperti ASEAN Integrated Food Security (AIFS) Framework dan ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) dapat memastikan negara anggota mempunyai mekanisme bersama untuk menghadapi gangguan bekalan makanan dan bencana yang tidak dijangka.
Krisis tenaga global membuktikan bahawa keterjaminan makanan telah menjadi komponen penting dalam keselamatan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara. Negara perlu bergerak lebih pantas membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan agar mampu menghadapi ketidaktentuan global pada masa hadapan.-UTUSAN
Penulis ialah Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia










