KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memainkan peranan proaktif dalam memajukan tanah wakaf berpotensi menerusi pembangunan Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Operasi UDA Land (North) Sdn. Bhd., Ir. Shahrul Arizan Mohamad Adnan berkata, projek yang dilancarkan pada Julai 2023 itu dibangunkan di atas tanah Wakaf Seetee Aisah menerusi kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan UDA.

Beliau berkata, projek perumahan itu merupakan kesinambungan kejayaan pembangunan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dan Taman Wakaf Seetee Aisah yang dibangunkan sebelum ini.
Katanya, Amaanee Residences dijangka siap pada 2027 dengan konsep ketenangan dan kesederhanaan di samping menekankan aspek keselesaan dan aksesibiliti bagi memenuhi keperluan pembeli masa kini.
“Pembangunan dilaksanakan secara berfasa menerusi pelbagai cabang seperti pusat komersial, rumah wakaf dan perumahan kos sederhana. Ia tidak hanya terhad dalam memenuhi keperluan masyarakat, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha merealisasikan potensi aset wakaf demi manfaat ummah secara lebih menyeluruh dan mampan.
“Peranan strategik yang dilaksanakan UDA menerusi beberapa projek pembangunan secara berfasa ini turut berjaya mengangkat potensi tanah Wakaf Seetee Aisah sebagai pembangunan yang memberi pulangan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Nilai tanah wakaf ini telah meningkat daripada sekitar RM34 juta kepada kira-kira RM42 juta, manakala hasil tahunannya turut meningkat daripada kira-kira RM200 kepada sekitar RM3.36 juta,” katanya dalam kenyataan.
Shahrul Arizan berkata, peningkatan hasil itu membantu memperluaskan amanah dan hasrat asal pewakaf dalam membantu lebih ramai penerima yang memerlukan menerusi pelbagai bentuk dan impak yang lebih luas.
Amaanee Residences merupakan apartmen setinggi 40 tingkat yang direka bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dengan menawarkan 410 unit kediaman tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.
Kediaman itu ditawarkan dalam keluasan 950 kaki persegi dan 1,100 kaki persegi pada harga bermula RM299,991.
Projek berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, gimnasium, taman permainan, taman asuhan kanak-kanak, tempat letak kenderaan berbumbung, dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah serta dilengkapi aspek keselamatan secara berpagar dan berpengawal.
Kediaman moden yang sesuai untuk pembeli rumah pertama dan golongan profesional itu terletak di lokasi strategik, hanya beberapa minit dari Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dan Terminal Pengangkutan Penang Sentral.
Ia juga berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam dan institusi pendidikan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai, Hospital Seberang Jaya, Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya, Politeknik Seberang Perai dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang UDA Holdings Berhad atau mengikuti Instagram @uda_official dan Facebook UDA Holdings Berhad. – UTUSAN










