PUTRAJAYA: Isu jenayah siber semakin kompleks dengan taktik baharu dengan menyasarkan mangsa lapisan kedua iaitu individu yang menerima wang daripada aliran dana jenayah tanpa mengetahui sumber sebenar.
Kelompok itu bukan mangsa yang kehilangan wang akibat ditipu, sebaliknya menjadi mangsa kepada proses penguatkuasaan apabila akaun mereka dibekukan kerana menerima transaksi yang dipercayai berkaitan jenayah siber.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, keadaan itu dikenali sebagai secondary victimisation atau mangsa lapisan kedua di mana seseorang yang tidak terlibat dengan jenayah akhirnya berdepan kesan besar termasuk kehilangan akses kepada akaun bank dan berdepan proses siasatan yang panjang.
“Ramai tidak sedar kita bukan sahaja perlu berhati-hati supaya wang kita tidak dicuri, tetapi juga perlu berhati-hati dengan wang yang masuk ke dalam akaun kita.
“Contohnya seseorang menjual barangan secara dalam talian. Pembeli sebenarnya menggunakan wang hasil penipuan. Penjual menerima bayaran tanpa mengetahui sumber wang tersebut. Apabila transaksi dikesan, akaun penjual dibekukan walaupun dia hanya menjalankan urus niaga yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai keperluan meneliti semula mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan individu yang benar-benar tidak bersalah tidak terus menjadi mangsa.
Menurut Siraj, kajian lapangan yang dijalankan mendapati kebanyakan akaun yang dibekukan dimiliki pihak tidak bersalah dan bukannya akaun keldai yang digunakan secara sengaja oleh sindiket.
Katanya, terdapat kes apabila individu memulangkan wang yang didakwa tersalah dipindahkan ke akaunnya, namun tanpa disedari wang tersebut sebenarnya berasal daripada aktiviti penipuan sebelum akhirnya mereka turut disiasat.
“Persoalannya, adakah mereka benar-benar akaun keldai atau mereka sendiri telah dimangsakan untuk menjadi akaun keldai tanpa disedari?
“Undang-undang tidak boleh sampai memangsakan orang yang tidak bersalah ketika kita berusaha menyekat aliran wang jenayah,” katanya.
Katanya, proses pembekuan akaun boleh mengambil masa yang panjang sehingga menjejaskan kehidupan mangsa apabila mereka tidak dapat membayar komitmen kewangan.
Beliau justeru itu mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme khas bagi mempercepat proses pemutihan terhadap individu yang disahkan tidak terbabit dengan kegiatan jenayah siber.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan memperhebat kempen kesedaran kepada orang ramai supaya bukan sahaja berwaspada terhadap penipuan dalam talian, malah lebih berhati-hati menerima sebarang transaksi daripada pihak yang tidak dikenali.
Katanya, peningkatan jenayah siber yang semakin kompleks menyebabkan sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa lapisan kedua sekiranya tiada mekanisme perlindungan yang lebih seimbang diwujudkan.
Sementara itu, beliau berkata, Akta Jenayah Siber yang baru diluluskan Parlimen disifatkan berpotensi menjadi pencetus perubahan dalam memperkukuhkan siasatan dan pendakwaan kes jenayah siber khususnya yang melibatkan sindiket rentas sempadan.
“Akta tersebut memberi lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa dalam aspek penyiasatan, termasuk kerjasama rentas negara selaras dengan konvensyen antarabangsa serta memperluaskan kaedah pembuktian di mahkamah.
“Namun, akta ini tidak memperincikan mekanisme khusus bagi melindungi mangsa lapisan kedua atau individu yang akaunnya dibekukan tanpa mengetahui wang yang diterima berpunca daripada jenayah siber,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan kajian bagi mewujudkan mekanisme yang dapat mempercepat proses pemutihan nama individu yang didapati tidak bersalah supaya mereka tidak terus menanggung kesan akibat pembekuan akaun yang berpanjangan.
Beliau turut mencadangkan supaya menteri-menteri yang terlibat meluangkan masa berada di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi menyelami sendiri cabaran yang dihadapi petugas barisan hadapan serta mendengar secara langsung rintihan mangsa jenayah siber.
Katanya, pengalaman itu penting supaya pembuat dasar memahami realiti sebenar di lapangan, termasuk beban yang ditanggung anggota penguat kuasa yang mengendalikan ratusan aduan setiap hari.
Menurutnya, meskipun usaha kerajaan memperkenalkan Akta Jenayah Siber wajar disokong, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira maklum balas daripada agensi penguat kuasa serta realiti yang dihadapi mangsa agar undang-undang itu benar-benar mampu membanteras jenayah siber tanpa menjejaskan hak individu yang tidak bersalah.-UTUSAN










