KANGAR: Kebanyakan kilang padi besar yang juga menjadi pemborong didakwa sudah lama mencampurkan beras tempatan dan import kemudian dijual dengan harga beras import.
Aktiviti seperti itu bukan `rahsia’ sehingga menyebabkan ia antara faktor ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran.
Justeru, langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang akan memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import dilihat tidak efisien.
Ini kerana, penguat kuasa tiada kepakaran mengenal pasti beras import dan mana beras tempatan.
Sebaliknya akan mendorong pengilang terbabit yang selama ini bermain harga belian padi dijangka menurunkan harga belian tersebut daripada RM1,800 per tan kepada RM1,400.
Pengilang terbabit selama ini didakwa berani membeli padi dengan harga lebih mahal kerana mereka mencampurkan beras tempatan dan beras import sekali gus dapat mengaut lebih keuntungan.
Kesan peraturan baharu kerajaan itu dijangka menyebabkan pesawah paling terjejas kerana pengilang akan menurun harga belian padi kerana dikawal tidak boleh mencampurkan beras tempatan dan beras import untuk dilabel sebagai beras import.
Bagi mengatasi masalah ini secara menyeluruh, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kerajaan perlu memperkenalkan beras pada satu gred seterusnya menetapkan harga siling yang tidak membebankan pengguna.
Selain itu, menurut beliau, harga beras juga perlu disemak semula memandangkan sudah 16 tahun tidak pernah disemak.
Katanya, harga beras pada satu gred berkenaan boleh ditetapkan antara RM35 atau RM36 bagi berat 10 sekilogram yang sekali gus tidak akan menjejaskan harga belian padi.
Kata beliau, kaedah memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import dilihat tidak relevan selain itu bagaimana mekanismenya untuk mengetahui sama ada beras import atau tempatan kerana kedua-dua sama.
“Adakah penguat kuasa akan diletakkan sepanjang masa di kilang-kilang untuk memantau perkara berkenaan ?. Agak mustahil untuk memantau sepanjang masa.
“Selama ini, kebanyakan kilang besar yang mempunyai pemborong sendiri mencampurkan beras ini. Mereka berkemungkinan juga akan kembali menurunkan harga belian padi jika tidak boleh lagi mencampurkan beras tersebut.
“Untuk mengelakkan manipulasi beras tempatan yang dicampurkan dengan beras import oleh mereka yang tidak bertanggung jawab, saya cadangkan supaya pihak kementerian adakan hanya satu gred beras putih dengan satu harga maksimum ditetapkan pada kadar tidak membebankan pengguna dan juga mampu memberi pendapatan yang setimpal kepada petani.
“Harga belian padi yang ditawarkan kepada petani tidak seiring dengan harga beras tempatan yang dikawal pada harga RM26.00 sekampit ketika ini yang tidak pernah disemak sejak 16 tahun dulu sedangkan ketika itu harga padi adalah RM1,200 per tan,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, ia merupakan antara empat langkah strategi reformasi kementerian itu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
Selain itu, kementerian juga akan menggabungkan penguat kuasa tujuh agensinya di bawah satu bumbung bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.
Tujuh agensi yang terlibat ialah Kawalselia Padi dan Beras (KPB); Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS); Jabatan Pertanian Malaysia (DOA); Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS); Jabatan Perikanan Malaysia (DOF); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Tambah Marzukhi, pihak kementerian juga perlu mengambil kira perkembangan industri yang sesuai dengan masa kini yang mana negara masih bergantung dengan beras import bagi mencukupkan keperluan makanan sekuriti negara.
“Walau bagaimanapun pihak kementerian perlu fokus kepada meningkatkan pengeluaran padi tempatan bagi mencukupkan keperluan beras negara yang mana terdapat ruang untuk ditingkatkan pengeluaran beras tempatan.
“Pada pandangan saya juga, semua pihak yang berkaitan tahu apa yang berlaku dalam rantaian pengeluaran padi, pengilangan, pemborong dan juga pengimpot beras iaitu berlaku manipulasi dalam pengredan beras dan kehilangan beras tempatan di pasaran,” katanya. – UTUSAN










