'Sokong pinda akta, mahu kuota calon wanita diberi perhatian serius'

‘Sokong pinda akta, mahu kuota calon wanita diberi perhatian serius’

AMEERA NADIA MOHD. SHAFIEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang menyokong penuh cadangan untuk meminda Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya.

Ketuanya, Ameera Nadia Mohd. Shafiee berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak terutamanya parti kerajaan yang memerintah ketika ini memberikan perhatian serius mengenai isu kouta terbabit.

“Puteri UMNO Pulau Pinang menyifatkan langkah ini sebagai sejajar dengan aspirasi kami untuk memperkasa golongan wanita muda dan memperluas peranan wanita dalam politik.

“Meskipun wanita merangkumi separuh daripada populasi negara, penglibatan mereka dalam politik masih sangat rendah dan berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, penguasaan politik oleh golongan wanita hanya berada pada kadar 0.102 peratus sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman ​​Athirah Sabu pernah menggesa agar peraturan sedia ada diubah bagi membolehkan 30 peratus kerusi Parlimen diisi oleh wanita.

Aiman yang juga Ketua Wanita parti Amanah Negara (Amanah) ​​turut mencadangkan agar skim insentif khas dilaksanakan bagi memberi ganjaran kepada parti politik yang mencapai kuota 30 peratus calon pilihan raya wanita.

Mengulas lanjut, Ameera Nadia berkata, pindaan terhadap akta dan peraturan itu dapat memastikan agar suara wanita lebih didengar dan kepentingan mereka lebih diutamakan dalam proses pembuatan dasar.

“Ini akan memberi peluang kepada wanita untuk turut-serta dalam penggubalan undang-undang yang lebih inklusif,” katanya yang memaklumkan, Puteri UMNO Pulau Pinang senada dengan Aiman Athirah yang mahu pindaan tersebut segera dilaksanakan demi mengiktiraf serta memperkasakan lagi kedudukan wanita dalam landskap politik Malaysia.

Dalam pada itu, Ameera Nadia memberitahu, selain meningkatkan penglibatan wanita, langkah berkenaan juga dilihat akan membantu UMNO secara keseluruhannya dalam memperkukuhkan reformasi politik parti.

Katanya, langkah tersebut tidak hanya menunjukkan bahawa UMNO adalah parti yang inklusif dan progresif, tetapi juga akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen parti untuk melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Sokongan terhadap pindaan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda global, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesaksamaan gender.

“Dalam konteks nasional, ia dilihat sebagai langkah penting ke arah dasar yang lebih adil dan inklusif. Justeru, Puteri UMNO Pulau Pinang percaya bahawa parti perlu menjadi peneraju utama dalam usaha ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN