KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran mengambil alih dan memulihara rumah kayu tradisional berkonsepkan istana lama dikenali Pura Tanjung Sabtu di Kampung Tanjung Sabtu, dekat sini yang terbiar untuk dijadikan lokasi pelancongan terkemuka di negeri ini.
Seorang penduduk, Omar Adam, 50, berkata, rumah berusia lebih 100 tahun itu yang menampilkan warisan seni bina Melayu berada dalam keadaan semakin usang kerana tidak diselenggara selepas pemiliknya seorang kerabat diraja Terengganu, Almarhum Tengku Ismail Tengku Su meninggal dunia pada 2011.
Katanya, kerajaan negeri boleh mengadakan kerjasama dengan pewaris rumah tersebut dan komuniti setempat untuk membaik pulihnya semula dengan mengekalkan warisan seni bina Melayu sebagai tarikan istimewa.
Menurutnya, rumah tersebut sebelum ini juga adalah sebuah inap desa dan terkenal dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menikmati suasana kehidupan zaman silam pada 1990-an.
“Kedudukan rumah tersebut di kawasan seluas 5.66 hektar berdekatan sungai sangat strategik apabila pelancong boleh datang ke Kampung Tanjung Sabtu melalui sungai dari Kuala Terengganu. Selain itu, aktiviti air seperti lumba perahu panjang dan lumba bot sering diadakan berdekatan rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pura Tanjung Sabtu yang juga dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera, merupakan gabungan tujuh rumah kayu tradisional Terengganu, antaranya dinamakan Rumah Seberang Baroh, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Atas Tol yang berusia lebih 100 tahun.
Keunikan rumah tradisional itu yang dibina tanpa menggunakan paku, sebaliknya, berkonsepkan tanggam dan pasak turut tular dalam media sosial selepas berada dalam keadaan terbiar, baru-baru ini.
Omar yang merupakan bekas guru percaya penduduk kampung menerima limpahan rezeki sekiranya rumah tradisional itu dapat dibangunkan semula sebagai pusat pelancongan baharu apabila jumlah pelancong meningkat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu, Md. Fauzi Mustaffa berkata, pihak komuniti kampung telah mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan negeri, Muzium Negeri Terengganu dan Pejabat Agama Kuala Terengganu untuk menguruskan rumah kayu tradisional itu sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menghadapi masalah bagi merialisasikan usaha tersebut kerana tanah itu merupakan tanah wakaf zuriat manakala rumah tersebut pula menjadi pusaka waris keluarga terdekat Tengku Ismail. – UTUSAN










