PETALING JAYA: Negara dijangka berbelanja lebih RM2 bilion untuk menanggung kos semua pilihan raya yang berlangsung secara berasingan bermula tahun depan di Sabah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027.
Jumlah itu mengambil kira peningkatan kos yang membabitkan pengurusan proses pengundian dan penamaan yang perlu menyewa premis dan pengangkutan serta membayar elaun petugas pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan proses demokrasi berlangsung serentak menelan kos RM400 juta, namun semakin meningkat kepada RM1.85 bilion menerusi pelbagai siri pilihan raya pada sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah kos PRU16 dijangka bertambah sehingga RM1.3 bilion berbanding PRU15 yang berjumlah RM1.1 bilion dengan melihat peningkatan perbelanjaan pengurusan pilihan raya setiap lima tahun.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk lagi sekiranya PRN berlangsung secara berasingan khususnya membabitkan pelbagai negeri berlainan.
“Peningkatan kos sudah pasti berlaku dan apatah lagi setiap tahun, perbelanjaan sering bertambah. Ia membabitkan kos pengangkutan, sewa premis untuk menjalankan proses penamaan dan pengundian.
“Sebelum ini, kos pilihan raya membabitkan peringkat pemilihan ADUN dan ahli Parlimen sekali gus, tetapi kali ini berbeza antara kedua-dua jawatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kos keseluruhan perbelanjaan PRU15 dan PRN secara berasingan berjumlah RM1.85 bilion iaitu jauh lebih besar daripada kos pelaksanaan PRU14 secara serentak pada 2018 iaitu hanya RM400 juta.
Ia merangkumi PRN Sabah pada 2020 mencatatkan RM130 juta diikuti Melaka (RM46 juta), Sarawak (RM150 juta), Johor (RM96 juta), PRU15 bersama Perlis, Perak dan Pahang (RM1.01 bilion) dan terakhir Kedah,
Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu (RM420 juta).
Bermula tahun depan negara berhadapan demam pilihan raya sehingga PRU16 pada 2027 yang bermula dengan PRN Sabah dan diikuti Melaka dan Sarawak seterusnya Johor, Perlis Pahang dan Perak serta
Parlimen pada 2027 manakala enam negeri iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan pada 2028.
Wan Ahmad justeru itu berpandangan, beberapa negeri perlu dilakukan melakukan pilihan secara serentak bagi mengelakkan bebanan kos, di mana wang tersebut boleh disalurkan untuk pembangunan negara.
“Misalnya Sabah dan Sarawak boleh dilakukan secara gus, begitu juga Johor dan Melaka dengan mengambil kira tempoh hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melebihi tiga tahun, iaitu waktu sesuai untuk diadakan pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










