Perjelas penggunaan SOSMA ke atas pemimpin GISBH

Perjelas penggunaan SOSMA ke atas pemimpin GISBH

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung pertuduhan ke atas pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta kerajaan mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin dan ahli GISBH itu sehingga mereka didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan pendiriannya mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Apakah kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh mereka? Apakah tuduhannya? Apakah jenayah terancang mereka lakukan?

“Saya tanya pendirian kerajaan sekarang ini, apa tindakan untuk menentang SOSMA yang dianggap sebagai draconian law (undang-undang zalim). Bagi Perikatan Nasional (PN) secara rasionalnya, kami me­nerima SOSMA tetapi tidak penyalahgunaan undang-undang tersebut,” kataya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya, Datin Azura Md. Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain pasangan itu, turut didakwa Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, iaitu anak kepada pengasas Pertubuhan Al-Arqam, Asa’ari Muhammad. Pada 1994, Al-Arqam telah diisytiharkan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, beliau akan menentang SOSMA sebagai backbencher (penyokong kerajaan).

“Kalau boleh, pada masa sekarang saya akan menawarkan perkhidmatan saya untuk membela mereka (GISBH) secara percuma,” katanya menjawab seruan daripada Takiyuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×