IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam kemalangan di Hala Bandar Baru Tambun di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 12.19 tengah malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang seorang remaja lelaki dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di mana mangsa telah terperosok di bawah kereta.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan ‘air lifting bag’ untuk meninggikan MPV itu sekali gus memberi ruang mangsa dikeluarkan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.46 pagi,” katanya. – UTUSAN










