PETALING JAYA: Keberkesanan penggunaan kamera badan (BWC) dalam penugasan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu meningkatkan integriti pasukan itu selain dapat melindungi petugas ketika berada di lapangan.
Keadaan ini dapat dilihat apabila sebanyak 1,376 unit unit BWC mula menguji keberkesanan kamera badan itu melibatkan ibu pejabat polis kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis di zon tengah di Lembah Klang yang dimulakan dalam dua fasa iaitu pada Jun dan Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penggunaan BWC yang ringkas dan mudah, membantu mengesan mana-mana anggota dan pegawai yang terpalit dengan salah laku dan masalah integriti ketika menjalankan tugas.
Katanya, setiap visual yang direkodkan akan diselia oleh penyelia dan ketua bahagian formasi masing-masing bagi memantau rakaman yang dibuat oleh petugas.
“Kamera badan ini akan digunakan sepanjang masa anggota menjalankan penugasan serta operasi harian.
“Malah, kapasiti bateri pada kamera yang mampu membuat rakaman dalam tempoh lapan ke sepuluh jam antara ciri-ciri penting bagi memastikan BWC dapat berfungsi sepanjang tempoh penugasan anggota di lapangan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kualiti rakaman full HD (1080p) yang ada pada kamera badan yang digunakan dilihat mampu menyokong pengoperasian bagi memastikan setiap imej pada rakaman dapat dilihat dengan jelas bagi tujuan siasatan.
Razarudin menjelaskan, BWC yang digunakan PDRM juga mempunyai dua perakam suara yang mampu merakam suara dengan jelas sehingga jarak tujuh meter bergantung pada keadaan persekitaran.
“Bukan itu sahaja, kamera yang kita guna juga melepasi piawaian lasak IP68 yang membolehkan BWC digunakan di dalam situasi penggunaan yang ekstrem,” jelasnya.
Pada 10 September lalu, akhbar ini melaporkan PDRM mula melaksanakan pemasangan 1,376 unit kamera badan (BWC) bagi menguji keberkesanannya dalam penugasan anggota dan pegawai polis di lapangan.
Penggunaan kamera badan itu melibatkan lima IPD dan balai di Kuala Lumpur iaitu IPD Dang Wangi; Balai Polis Dang Wangi; Balai Polis Chow Kit; Balai Polis Tun HS Lee dan Balai Polis Trafik Jalan Bandar.
Selain empat lagi di Selangor iaitu IPD Klang Utara, Balai Polis Kampar, Balai Polis Bandar Baru Klang dan Balai Polis Trafik Klang Utara.
Sembilan lokasi IPD dan balai polis yang dibekalkan kamera badan itu sedang menjadi projek perintis bagi menguji keberkesanan dan fungsi peralatan tersebut yang bakal diperluaskan ke seluruh negara.
Pelaksanaan pemasangan kamera badan peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan Kontinjen Polis Selangor telah dimulakan pada 12 Ogos dan sudah selesai pada 20 Ogos lalu.
Dalam pada itu, PDRM akan melaksanakan pemasangan bagi zon selatan melibatkan Kontinjen Polis Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke zon utara dan zon timur serta ke seluruh negara pada Mac, tahun depan. – UTUSAN










