KUALA LUMPUR : Seramai 293,639 pekerja hilang pekerjaan bagi tempoh 2020 sehingga 26 September lalu dengan jumlah tertinggi membabitkan sektor pembuatan 75,615 orang.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, ia diikuti bidang perdagangan borong dan runcit membabitkan 43,614 orang.
“Aktiviti profesional, saintifik dan teknikal pula 23,907 orang serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebanyak 19,931orang.
“Sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman seramai 23,124 orang, pembinaan 21,233 orang, pengangkutan 20,953 orang dan lain-lain sektor merekodkan 65,262 orang.
“Statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 575,044 pencari kerja aktif direkodkan dari Januari hingga 27 September lalu di Portal MYFutureJobs berbanding 125,956 kekosongan jawatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta Kementerian Sumber Manusia menyatakan program latihan kemahiran dirancang untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi dan industri 4.0.
Abdul Rahman berkata, pihaknya komited memastikan graduan dan pekerja tempatan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan dengan kemahiran diperlukan khususnya dalam sektor teknologi dan industri 4.0 termasuk automasi serta kecerdasan buatan yang berkembang pesat.-UTUSAN










