BEIJING: Pasukan penyelamat terus menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat di kawasan dilanda banjir di China selepas ribut kuat mengorbankan 21 nyawa, menyebabkan puluhan sungai melimpah dan empangan takungan pecah.
Di wilayah selatan Guangxi, sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan maut manakala lebih 130,000 penduduk dipindahkan berikutan hujan lebat berterusan dan banjir besar akibat Taufan Maysak.
Pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan di Guangxi dan wilayah jiran, Guangdong.
Media kerajaan melaporkan, aliran air berlumpur yang deras menyebabkan tebing 40 sungai dan saluran air di Guangxi pecah, merosakkan hampir 5,261 hektar kawasan pertanian.
Video yang disiarkan penyiar kerajaan CCTV menunjukkan arus deras mengalir melalui dinding konkrit empangan takungan yang runtuh di Guangxi, manakala anggota penyelamat memakai jaket keselamatan dikerahkan menggunakan bot getah.
Pihak berkuasa China menghantar bantuan bencana tambahan seperti makanan, baju hujan dan bot getah ke kawasan tersebut, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Menurut Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negeri, pihak berkuasa mengekalkan tahap kedua tertinggi bagi tindak balas kecemasan kawalan banjir di Guanxi.
Menteri Sumber Air China, Li Guoying berkata, kemuncak banjir melebihi paras amaran enam meteri dijangka berlaku di Stesen Hidrologi Wuzhou di Guangxi pada awal Khamis.
“Disebabkan oleh kesan hujan lebat yang berterusan dan laluan air banjir yang berpanjangan pada paras tinggi, keselamatan takungan dan benteng di kawasan terjejas berdepan ujian teruk,” katanya.
Sementara itu, ribut petir dan angin kencang mengorbankan 11 lagi nyawa serta menyebabkan 331 orang cedera di wilayah Hubei.
Kejadian puting beliung turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain pada lewat Isnin, lapor Xinhua.
Bencana alam merupakan kejadian yang biasa berlaku di China, khususnya pada musim panas apabila sesetengah wilayah dilanda hujan lebat, manakala kawasan lain berdepan cuaca panas melampau.- AFP










