PERNAHKAH kita terfikir mengapa angka kematian nahas jalan raya di kawasan pedalaman Johor terus meningkat saban tahun, manakala koridor bandar raya besar pula rancak meraikan kemudahan pengangkutan awam serba moden bernilai berbilion ringgit?
Persoalan yang menggugah minda ini mendedahkan jurang kemudahan yang sangat jauh beza, sekali gus membuatkan penduduk di kawasan luar bandar rasa seperti dianak tirikan, walaupun hasil sawit dan getah dari titik peluh merekalah yang menjadi penggerak utama ekonomi selama ini.
Setiap kali musim pilihan raya tiba, pemimpin politik mula datang ke kampung membawa pelbagai janji manis tentang projek besar, namun selepas menang, jalan raya persekutuan yang menjadi laluan harian rakyat tetap kekal rosak dan membahayakan nyawa.
Ketiadaan sistem bas awam yang konsisten di kawasan kampung memaksa setiap keluarga membeli kereta atau motosikal sendiri, yang akhirnya menyebabkan poket rakyat semakin kering untuk membayar ansuran bulanan, insurans, dan kos minyak yang mahal.
Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada kenderaan persendirian disebabkan tiada pilihan lain ini bukan sahaja membebankan kewangan, malah meningkatkan kekerapan risiko kemalangan ngeri setiap kali penduduk keluar melakukan perjalanan harian.
Maka tidak hairanlah statistik kematian akibat kemalangan maut dalam kawasan luar bandar Johor seperti tidak pernah berganjak dan terus meragut nyawa insan tersayang tanpa ada penyelesaian yang tuntas.
Anak-anak muda yang menunggang motosikal untuk ke sekolah atau tempat kerja pula sentiasa berdepan risiko kemalangan maut kerana laluan utama kampung mereka bukan sahaja gelap gelita pada waktu malam, malah kerap berpasir dan hancur akibat dilalui lori-lori muatan berat.
Lebih malang lagi, ada anak-anak kampung yang terpaksa melupakan impian dan menolak tawaran belajar di pusat latihan kemahiran atau kolej komuniti berhampiran hanya kerana tiada kemudahan bas awam yang boleh membawa mereka berulang-alik setiap hari dengan kos yang mampu milik.
Akibat kekangan mobiliti ini, bakat muda di luar bandar terperangkap dalam lingkaran kemiskinan dan terus kehilangan peluang keemasan untuk mengubah nasib keluarga mereka ke arah yang lebih baik, ini sangat mendukacitakan.
Nasib warga emas dan pesakit kronik di kampung juga amat menyedihkan kerana mereka terpaksa berhabis wang ringgit simpanan menyewa kereta sekadar untuk pergi ke Hospital Besar di bandar, memandangkan klinik kesihatan berhampiran tidak mempunyai doktor pakar.
Bukan itu sahaja, jalan raya yang rosak ini turut menyebabkan pelancong berfikir dua kali untuk datang melawat inap desa (homestay) atau tempat menarik di kampung, sekali gus membantutkan usaha usahawan kecil tempatan untuk memajukan perniagaan mereka.
Selain daripada kos kenderaan yang tinggi, penduduk luar bandar juga terpaksa menanggung kos tersembunyi seperti kekerapan membaiki kenderaan yang rosak akibat kualiti tar jalan yang “tampal asal boleh” menjelang musim pilihan raya.
Oleh yang demikian, kita jangan sesali hari mengundi atau menganggapnya sebagai perkara yang membuang masa, sebaliknya gunakanlah kertas undi itu sebagai “surat amaran” daripada rakyat luar bandar kepada kerajaan supaya mereka tidak lagi culas membahagikan duit pembangunan negeri.
Setiap undi yang kita pangkah di dalam bilik undi sebenarnya adalah suara kita untuk mendesak kerajaan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, termasuklah memperluaskan laluan bas percuma seperti Bas Muafakat Johor hingga ke depan pintu rumah orang kampung.
Sebagai pengundi yang bijak, kita tidak boleh lagi mudah terpedaya dengan pemberian sumbangan barangan dapur secara bermusim, sebaliknya kita perlu memilih calon yang betul-betul ada pelan kerja yang jelas untuk membaiki lampu jalan, menurap jalan raya, dan menjaga keselamatan penduduk.
Janganlah kita tunggu sehingga berlaku lebih banyak kemalangan jiwa yang meragut nyawa ahli keluarga sendiri baru mahu bertindak, sebaliknya calon yang menang nanti wajib meletakkan agenda membaiki jalan rosak sebagai kerja pertama mereka demi keselamatan kita semua.
Kerajaan negeri yang baharu boleh mula membina pusat transit mini yang menghubungkan stesen kereta api utama (seperti projek ETS) dengan kawasan kampung melalui perkhidmatan van atau bas kecil, supaya orang kampung juga boleh menikmati sistem pengangkutan moden.
Kemajuan sesebuah negeri Johor yang kita cintai ini tidak sepatutnya diukur pada ketinggian bangunan mewah di Johor Bahru sahaja, melainkan pada tahap keselamatan, lampu jalan yang terang, dan keselesaan jalan raya yang dilalui oleh makcik, pakcik, serta anak-anak muda di luar bandar.
Apabila kita berani membuat perubahan dan menggunakan kuasa undi dengan betul, kita sedang membuktikan bahawa jalan raya yang selamat dan pengangkutan awam yang baik bukanlah satu kemewahan untuk orang bandar sahaja, melainkan hak kebajikan murni yang wajib diberikan kepada seluruh rakyat Johor tanpa berbelah bahagi.
Pesanan penting untuk rakyat Johor, jangan abaikan peluang mengundi dan gunakan kuasa undi anda. –UTUSAN
PROF. MADYA MUNZILAH MD ROHANI
Pensyarah (Profesor Madya)
Fakulti Kejuruteraan Awam & Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










