PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara bakal menghadapi lima hingga tujuh luruan monsun sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang berisiko membawa hujan lebat berterusan.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, kebanyakan kawasan dijangka menerima jumlah hujan pada kadar purata sepanjang MTL kecuali di utara dan timur Semenanjung pada Disember ini serta utara dan timur Sabah dari Disember hingga Februari 2025 depan.
Katanya, di kawasan-kawasan ini, taburan hujan diramal melebihi kadar purata sekali gus meningkatkan risiko banjir.
“Jangkaan terperinci hanya dapat dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari sebelum sesuatu kejadian hujan lebat berlaku.
“Negara masih dalam fasa peralihan monsun dan cuaca ketika tempoh ini selalunya tidak menentu berikutan keadaan angin yang bertiup secara tidak konsisten dari arah berbeza-beza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perubahan iklim global terus memberi kesan mendalam kepada dunia termasuk Malaysia dengan peningkatan ketara dalam kejadian cuaca ekstrem yang semakin membimbangkan.
Menurut Laporan Komunikasi Nasional Ke-4 (NC4) yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada April lalu, impak perubahan iklim mengakibatkan peningkatan dalam frekuensi kejadian cuaca ekstrem di Malaysia.
Laporan itu meramalkan peningkatan berterusan dalam kejadian hujan lebat, cuaca kering yang berpanjangan dan suhu panas yang luar biasa.
Sehubungan itu, Mohd. Anip berkata, ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara.
“Untuk sepanjang minggu ini, angin baratan dijangka mendominasi rantau negara. Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan fenomena garis badai di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutama pada sebelah pagi.
“Terdapat kemungkinan berlaku taburan hujan luar biasa di sekitar Lembah Klang memandangkan negara masih berada dalam fasa peralihan monsun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MetMalaysia sentiasa bekerjasama dengan semua agensi pengurusan bencana dalam menyampaikan ramalan atau amaran awal cuaca buruk. – UTUSAN










