KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan Dasar Kesenian di bumi serambi Mekah tidak berubah malah masih sama seperti era pentadbiran Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula tahun 1990 walaupun ‘lambakan’ konsert hiburan dilihat berlaku ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Asri Mat Daud berkata, Kerajaan Kelantan sentiasa terbuka menerima sebarang penganjuran program hiburan yang mematuhi syariat dan peraturan-peraturan ditetapkan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
“Perbezaannya ketika ini hanya terletak kepada ‘kuasa viral’ yang tidak wujud pada era Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Ia menyebabkan rakyat melihat seolah-olah Kelantan kini lebih terbuka berbanding dahulu sehingga menyaksikan banyak pihak menganjurkan konsert serta program hiburan melibatkan artis terkenal.
“Malah Tok Guru sendiri pernah mengizinkan untuk konsert Mawi (Asmawi Ani) diadakan pada era pentadbirannya setelah melihat rakyat mahukan hiburan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Asri menjelaskan, pada ketika itu perbincangan diadakan antara semua exco kerajaan negeri yang bersetuju untuk memperluaskan ruang bagi penganjuran program hiburan tetapi bersyarat.
“Malah pada konsert Mawi itulah kali pertama pemisahan tempat duduk penonton lelaki dan perempuan dilaksanakan dan antara aspek dititikberatkan adalah tajuk dan lirik lagu yang akan disampaikan.
“Itu bukti kerajaan negeri terbuka untuk sebarang penganjuran program hiburan termasuk Jom Heboh pada tahun lalu. Saya sendiri melalui empat kali mesyuarat bersama pihak penganjur Jom Heboh bagi memastikan ia bertepatan dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998,” ujarnya.
Asri berkata, terdapat penganjur-penganjur program hiburan atau konsert didenda serta dikompaun apabila didapati melanggar syarat permit hiburan secara jelas.
“Kerajaan negeri kesal apabila ada pihak bertindak menganjur program hiburan serta konsert secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tindakan sebeginilah menyebabkan pihak penganjur dikompaun.
“Jadi saya harap pihak penganjur jangan marah apabila mereka didenda apabila melanggar syarat-syarat dan peraturan ditetapkan kerana kita perlu tegas dalam sudut itu,” katanya.
Asri berkata, kerajaan negeri juga turut meminta pihak-pihak berkenaan untuk mengurangkan penganjuran program hiburan dan konsert pada bulan-bulan tertentu, seperti Ramadan atau pada musim tengkujuh. – UTUSAN