SEREMBAN: Kes kanser payudara dalam kalangan wanita berusia 40 tahun semakin membimbangkan dengan 38.9 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.
Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, sebanyak 50.5 peratus daripada kes kanser payudara telah dikesan pada tahap tiga dan empat.
Timbalan Pengarah (Perubatan) Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. S. Vignesvari berkata, justeru keadaan itu semakin membimbangkan berikutan trend penghidap kanser payudara juga sudah berubah.
Malah katanya, turut membimbangkan apabila lebih ramai wanita bermula usia 40 tahun didiagnosis menghidap kanser berbanding pada usia 65 tahun sebelum ini.
“Namun, kita tidak boleh berputus asa, pengesanan awal melalui mamogram adalah kunci kepada peningkatan kadar kemandirian pesakit kanser payudara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pink Etiqa di Bandar Baru Nilai, Nilai di sini, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh isteri kepada Menteri Kesihatan, Datin Seri Azlin Hezri dan turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa International Holdings Sdn. Bhd, Siti Nita Zuhra Mohd Nazri.
Vignesvari sementara itu berkata, inisiatif Pink Etiqa merupakan program membantu wanita kurang berkemampuan untuk mendapatkan saringan mamogram secara percuma.
“Pink Etiqa akan mengunjungi enam lokasi utama di seluruh negara untuk memastikan wanita dari komuniti kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dapat mengakses saringan mamogram dan mendapat pendedahan maklumat mengenai kanser payudara.
“Jelajah ini akan memberi tumpuan kepada wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana pengesanan awal secara signifikan meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” kata beliau.
Katanya lagi, sejak tahun 2017, program mamogram percuma anjuran NCSM dan Etiqa telah berjaya menyediakan saringan kepada 27,500 wanita di seluruh negara. – UTUSAN









