KUALA LUMPUR: Isu beras putih tempatan (BPT) yang sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu diakui masih belum selesai sepenuhnya walaupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengambil beberapa langkah untuk menanganinya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sehingga kini, premis-premis runcit seperti kedai runcit dan pasar raya maish tidak memperoleh bekalan beras berkenaan.
Menurut beliau, situasi itu perlu diberi perhatian agar rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada bekalan beras putih tempatan.
“KPKM kini giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras antaranya pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
“Selain itu, mewujudkan peraturan baharu larangan percampuran beras putih tempatan dengan beras putih import serta menggabungkan penguat kuasa di bawah KPKM bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.
“Selain itu, langkah mereformasi pentadbiran Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) turut diambil,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) minta KPKM menyatakan sebab-sebab beras tempatan masih sukar untuk diperoleh di kedai-kedai runcit mahupun pasar raya dan apakah usaha kementerian bagi mengatasi permasalahan itu.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan pendekatan yang diambil oleh KPKM dalam isu kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran yang melanda negara sejak 2023.
“Antaranya adalah mengedar beras putih tempatan melalui program jualan dan outlet di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rantaian pasar raya terpilih.
“Bermula dari bulan Jun 2023 sehingga 19 September 2024, sebanyak enam juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diedarkan oleh FAMA, LPP dan pemborong,” katanya. – UTUSAN










