Guna PADU kenal pasti golongan layak

Guna PADU kenal pasti golongan layak

Penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) boleh digunakan sebagai mekanisme dalam melaksanakan penyasaran subsidi. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) boleh digunakan sebagai mekanisme dalam melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan inisiatif kerajaan yang lain kepada golongan berkelayakan.

Sistem yang mengumpulkan data sosioekonomi rakyat daripada lebih 400 agensi kerajaan ini membolehkan kerajaan mengenal pasti isi rumah yang benar-benar layak menerima bantuan, sekali gus mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

Dekan Institut Teknologi Maklumat Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIIT), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nizam Husen berkata, PADU berperanan sebagai pangkalan data berpusat yang memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan sosioekonomi rakyat.

Menurut beliau, dengan data yang komprehensif, kerajaan dapat memastikan subsidi diagihkan kepada golongan yang paling memerlukan.

Malah katanya, ketepatan penyusunan subsidi ini mengurangkan risiko penerima yang tidak layak daripada mendapat manfaat dan menjadikan pengagihan bantuan lebih adil.

“Sistem ini juga mengurangkan beban pentadbiran dengan mengehadkan keperluan untuk pengumpulan data secara berulang kali dari pelbagai sumber. Ia memudahkan proses pentadbiran dan menjimatkan masa serta sumber yang diperlukan untuk menguruskan data rakyat.

“PADU meningkatkan kecekapan dalam pengagihan subsidi dengan memudahkan proses pengesahan maklumat secara berterusan. Proses ini membolehkan kerajaan mengemaskini dan mengesahkan data dengan lebih tepat dan cepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan penggunaan MyKad ketika ingin melakukan pembelian minyak RON95 antara satu daripada mekanisme yang akan dipertimbangkan oleh Kementerian Pengangkutan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi itu pada pertengahan tahun hadapan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, hal itu memandangkan langkah menggunakan MyKad sebagai medium membeli minyak RON95 dapat mengelakkan warga asing daripada mengambil kesempatan di stesen-stesen minyak.

Walaubagaimanapun, Mohd. Nizam berkata, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan sistem PADU seperti kebolehpercayaan data kerana masih ada kebimbangan mengenai ketepatan dan kelengkapan maklumat yang disimpan dalam PADU.

Kata beliau, pengguna yang tidak mengemaskini data secara berkala mungkin menyebabkan subsidi disalurkan kepada golongan yang tidak layak.

“Keselamatan data juga menjadi keutamaan bagi mengelakkan serangan siber dan kebocoran maklumat peribadi.

“Kerajaan turut mempertimbangkan penggunaan MyKad, e-dompet serta kad debit dalam proses penyasaran subsidi RON95 serta kaedah ini dapat mengurangkan kebocoran subsidi yang kerap berlaku.

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Razali Yaakob berkata, kerajaan seharusnya mempertingkatkan sistem PADU dari segi kemudahan dan keselamatan bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa membelanjakan lebih banyak untuk membangunkan sistem baharu khusus bagi subsidi RON95.

“Sebagai alternatif, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan kod TAC yang dihantar ke telefon peribadi berdaftar untuk setiap transaksi kad debit atau e-dompet.

“Selain itu, membangunkan aplikasi khas yang membolehkan pengguna mendaftar dan menggunakan kod QR sendiri untuk diimbas ketika mengisi petrol juga boleh dipertimbangkan, malah setiap pengguna mungkin boleh dikenakan had harian bagi mengelakkan penyalahgunaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×