PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi telah meluluskan permohonan oleh 26 jabatan, agensi dan kerajaan negeri bagi mengguna pakai data sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kelulusan itu diberikan sejak permohonan dibuka bermula tahun lalu hingga Mac lalu.
Beliau berkata, antara agensi berkenaan ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Jabatan Digital Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Kami juga sedang menyemak permohonan sebuah lagi agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia akan diberi kelulusan dalam tempoh terdekat.
“Kami akan proses dan menilai setiap permohonan dengan teliti berdasarkan keperluan setiap agensi sebelum kelulusan diberi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian di sini hari ini.
Katanya, PADU kini mempunyai kira-kira 30.7 juta profil individu dan data itu dikumpulkan daripada pelbagai sumber termasuk agensi kerajaan dan ia dikemas kini secara berterusan dari semasa ke semasa.
Akmal berkata, fungsi utama PADU sekarang adalah sebagai platform verifikasi data malah, setiap agensi yang ingin mendapatkan data diingini tidak lagi perlu mendapatkan data daripada pelbagai agensi lain secara berasingan.
Menurutnya, ketika ini, data yang berada dalam PADU data diperoleh daripada lebih 200 agensi secara masa nyata dan berkala.
“Pendaftaran individu bagi PADU sebelum ini adalah sukarela dan kini tidak lagi dibuka. Fokus semasa kini adalah kepada perkhidmatan ‘backend’ (sistem sokongan utama) untuk agensi kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, testimoni menunjukkan ada agensi yang dapat menjimatkan 70 peratus masa dalam proses verifikasi data.
“PADU dilihat membantu mengurangkan keperluan semakan silang manual dan meningkatkan kecekapan kerja agensi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Akmal berkata, PADU juga menawarkan perkhidmatan analitik bermula Mei ini bagi membantu agensi dan jabatan yang memerlukan.
Katanya, perkhidmatan itu termasuk menilai kelayakan penerima bantuan, membantu perancangan dasar dan membuat analisis sosioekonomi berdasarkan parameter.
“Sebagai contoh, jika ada program kerajaan memberikan bentuk pinjaman, jadi adakah kita boleh menjalankan analisis kebolehupayaan penerima pinjaman itu untuk membuat bayaran kembali,” katanya. – UTUSAN










