‘Berderau darah dapat tahu adik jatuh Gunung Machinchang’

‘Berderau darah dapat tahu adik jatuh Gunung Machinchang’

KHAIRIL Ajhar Jaafar menunjukkan gambar adiknya, Khairul Nizam yang meninggal dunia setelah terjatuh di Gunung Machinchang di Langkawi ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Juruteknik yang maut setelah terjatuh dari tebing Gunung Machinchang, di Langkawi semalam baru tiga bulan bekerja dengan syarikat operator pelancongan di lokasi itu.

Abang mangsa, Khairil Ajhar Jaafar, 47, berkata, adiknya, Khairul Nizam, 41, sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) selama 16 tahun.

“Sudah 16 tahun arwah be­kerja di lapangan terbang juga sebagai juruteknik dan bekerja di syarikat baharu itu baru tiga bulan. Saya difahamkan arwah berpindah kerja sebab tawaran gaji lebih tinggi di situ.

“Saya terima panggilan daripada emak, Kashah Hashim, 72, pada pukul 2 petang semalam maklumkan arwah jatuh. Mula-mula ingat jatuh biasa sahaja tetapi apabila telefon isterinya, Zunirah Othman, dia beritahu kejadian sebenar.

“Berderau darah. Kami sekeluarga memang bersedih terutama ibu tetapi reda dengan pe­mergian arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Jenazah mangsa dibawa dari Hospital Sultanah Ma­liha (HSM), Langkawi dan tiba di HSB kira-kira pukul 11.30 pagi ini untuk bedah siasat.

Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang berusia 17 hingga 10 tahun.

Sementara itu, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. yang me­ngendalikan kereta kabel SkyCab Langkawi menjelaskan ju­ruteknik yang maut ketika melakukan kerja-kerja penye­lenggaraan di Eagle’s Nest SkyWalk bukan terjatuh daripada kereta kabel.

Jurucakap Panorama Lang­kawi memaklumkan, mangsa yang bekerja dengan Eagle’s Nest SkyWalk yang terletak di Gunung Machinchang adalah di bawah pengurusan dan pengoperasian Langkawi SkyWalk Sdn. Bhd..

“Mangsa difahamkan berada di kawasan pe­­nye­leng­ga­raan di ba­wah lan­tai kaca di lereng gunung itu dan bukannya dalam kawasan pengunjung atau kawasan awam.

“SkyCab Langkawi berope­rasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijadualkan pa­da waktu tersebut,” katanya ketika dihu­bungi di sini, semalam.

Pihaknya juga menegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jelasnya, sekiranya kerja-kerja perlu dilakukan di tempat tinggi, kakitangan perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja di tempat tinggi beserta de­ngan peralatan perlin­dungan diri (PPE) yang lengkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN