Bantu belia miliki ‘Rumahku, Syurgaku’

Bantu belia miliki ‘Rumahku, Syurgaku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan belia berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian diskaun khas bagi pembelian rumah pertama untuk mereka.

Menurut mereka, langkah itu perlu berikutan peningkatan harga rumah yang ketara, ditambah pula dengan cabaran bagi mereka yang baru memulakan kerjaya.

Seorang guru taska, Irwani Zulkifli, 29, berkata, langkah itu dapat meringankan beban golongan belia yang berdepan dengan cabaran kewangan terutamanya mereka yang baru memulakan kerjaya dan mempunyai gaji permulaan yang rendah.

“Deposit yang tinggi untuk membeli rumah pertama membebankan saya yang baru mula berkerja tiga tahun lepas.

“Diskaun tersebut akan memberi peluang lebih besar kepada belia untuk memiliki rumah tanpa terlalu terbeban dengan kos pembayaran yang tinggi,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan keraja­an memperkenalkan inisiatif Deposit MADANI menyasarkan untuk menyediakan deposit sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah pertama, selaras de­ngan dasar kerajaan ‘Rumahku, Syurgaku’.

Perkara yang sama turut diakui oleh seorang peniag, Ahmad Zahid Nur, 28, berkata, kerajaan perlu memberikan insentif tambahan untuk me­ngurangkan persaingan dengan pembeli asing.

“Harapan saya ialah kerajaan memberi insentif tambahan bagi mengurangkan persaingan de­ngan pembeli asing terutamanya berikutan laporan tentang lambakan pembelian rumah oleh warga asing dari China.

Situasi ini menambah teka­nan kepada belia tempatan, jadi langkah-langkah seperti sub­si­di, insentif deposit, atau le­bih ba­nyak rumah mampu milik amat diperlukan,” katanya.

Menurut seorang pembantu klinik pergigian, Nurul Najwa Mohd Nazri, 25, jurang gaji de­ngan harga rumah menyebabkan golongan muda tidak mampu membeli rumah.

Katanya, deposit MADANI yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPT) boleh mem­bantu mereka mengatasi ma­sa­lah pemilikan rumah.

“Bagi memiliki rumah, ia menjadi halangan utama kepada saya kerana saya tidak mempunyai simpanan yang besar, lebih-lebih lagi saya baru sahaja mula bekerja.

“Inisiatif deposit MADANI ini membantu saya dan golongan muda yang lain membeli rumah pertama tanpa perlu menyediakan wang pendahuluan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pelanggan syarikat pengendalian lapangan terbang, Nik Nur Iylia Mazni Ismail, 23, berkata, inisiatif deposit MADANI yang menyasarkan untuk menyediakan RM30,000 kepada pembeli rumah pertama dapat mengurangkan kebimbangan kepada beliau untuk menyediakan wang pendahuluan sebelum membeli rumah.

“Tipulah kalau saya dan golongan muda yang lain tidak ingin memiliki rumah, namun jumlah wang pendahuluan yang diperlukan sebelum membeli rumah agak besar.

“Dengan adanya deposit MADANI, ia akan membantu saya memiliki rumah lebih mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN