PETALING JAYA: Pasaran emas dijangka mencari paras sokongan baharu dalam lingkungan AS$4,000 seauns (RM524.32 segram) hingga AS$4,300 seauns (RM563.62 segram) sebelum menentukan hala tuju seterusnya.
Bagaimanapun, harga logam berharga itu kekal berada pada paras tinggi dengan pergerakan yang masih berdepan volatiliti ketika ini.
Harga emas spot dibuka lebih rendah dalam dagangan awal pada AS$4,167.40 seauns (RM545.91 segram) sebelum susut sebanyak 0.60 peratus kepada AS$4,141.70 seauns (RM542.87 segram) pada pukul 5 petang semalam.
Sebelum ini, harga emas susut di bawah paras AS$4,000 seauns (RM523.40 segram) pada 30 Jun lalu, mencecah paras terendah dalam tempoh hampir lapan bulan sekali gus berada di landasan mencatatkan penurunan bulanan keempat berturut-turut.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan semasa pasaran emas bukan menunjukkan berlakunya kejatuhan besar, sebaliknya lebih kepada proses pengambilan keuntungan selepas mencatatkan kenaikan kukuh sepanjang 2025.
Menurutnya, dari perspektif jangka panjang, trend emas masih menunjukkan momentum positif apabila harga emas meningkat sebanyak 175.6 peratus dari Januari 2020 hingga Jun 2026.
“Pada Jun lalu, harga penutupan emas berada pada AS$4,188.50 seauns (RM549.02 segram) berbanding AS$3,302.91 seauns (RM432.95 segram) pada Jun 2025, mencatatkan peningkatan kira-kira 26 peratus dalam tempoh setahun.
“Bagaimanapun, bagi tempoh jangka pendek, pergerakan emas lebih bersifat mendatar selepas mengalami pembetulan ketara.
“Selepas mencapai paras tertinggi pada Mac laluiaitu AS$5,418.82 seauns (RM710.27 segram), harga emas menyusut lebih 25 peratus dan kini berada sekitar AS$4,126.92 seauns (RM540.95 segram),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, paras sokongan utama dilihat sekitar AS$4,000 seauns (RM524.32 segram), manakala paras rintangan berada dalam julat AS$4,120 seauns (RM540.05 segram) hingga AS$4,180 seauns (RM547.92 segram)
“Dari sudut teknikal, analisis pada 29 Jun menunjukkan trend keseluruhan masih berada dalam keadaan menurun.
“Selagi harga emas kekal di bawah zon AS$4,250 seauns (RM557.10 segram) hingga AS$4,415 seauns (RM578.70 segram), risiko penurunan lanjut masih wujud,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, harga emas berpotensi meneruskan aliran kenaikan walaupun harga minyak kekal rendah,namun jika kadar faedah kekal tinggi lebih lama daripada jangkaan dan dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh, kenaikan harga emas mungkin menjadi lebih terhad.
Beliau berkata, antara faktor utama yang menyokong harga emas ialah jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS susulan data ekonomi negara itu yang menunjukkan kelembapan.
“Apabila kadar faedah dijangka turun, pulangan aset seperti bon menjadi kurang menarik, menyebabkan pelabur beralih kepada emas sebagai aset selamat.
“Kelemahan dolar AS turut menyokong kenaikan harga emas apabila ia menjadi lebih murah kepada pelabur antarabangsa, sekali gus meningkatkan permintaan.
“Selain itu, ketidaktentuan ekonomi global, termasuk risiko pertumbuhan perlahan dan tahap hutang tinggi di beberapa negara, turut mendorong pelabur mencari perlindungan dalam aset selamat seperti emas,” katanya. – UTUSAN










