Kapal tangki diserang dekat Selat Hormuz selepas abai arahan Iran - Utusan Malaysia

Kapal tangki diserang dekat Selat Hormuz selepas abai arahan Iran

IRAN memberi arahan kepada kapal-kapal yang mahu memasuki Selat Hormuz dari Oman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TEHERAN: Iran mendakwa serangan terhadap sebuah kapal tangki dekat Selat Hormuz berlaku kerana kegagalannya mematuhi amaran ketika cuba melalui laluan Oman dengan sokongan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

Penyiar negara Iran, IRIB, yang memetik sumber tanpa nama, melaporkan kapal tersebut diserang selepas ia mengabaikan amaran berulang kali.

Kapal Al Rekayya dipercayai menjadi sasaran serangan itu. Ia merupakan sebuah kapal tangki gas asli cecair (LNG) yang dimiliki dan dikendalikan oleh Nakilat, cabang perkapalan industri LNG Qatar, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Menurut laporan itu, kapal berkenaan terkena serangan di bahagian kiri pada bahagian atas bilik enjin.

“Kebakaran berlaku di bilik enjin dan dipenuhi asap. Kami masih tidak dapat menilai tahap kerosakan yang lain. Semua anak kapal selamat dan telah berkumpul di bahagian kanan kapal,” menurut rakaman yang dipetik WSJ.

WSJ melaporkan kapal itu berada di pintu masuk Selat Hormuz, Teluk Oman, ketika serangan berlaku.

Kelmarin, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan sebuah peluru tidak dikenali mengenai sebuah kapal tangki dan menyebabkan kebakaran di luar pantai Oman berhampiran Selat Hormuz.

Laman berita Axios pula melaporkan Iran melancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu ke arah kapal-kapal komersial, memetik dua pegawai AS yang enggan didedahkan identiti mereka.

Iran sebelum ini memberi amaran kepada kapal-kapal supaya tidak menggunakan laluan selatan Selat Hormuz di perairan Oman, dengan menegaskan semua pelayaran melalui laluan strategik itu perlu diselaraskan bersama pihak tenteranya.

Insiden itu berlaku berhampiran antara laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia, ketika gencatan senjata antara AS dan Iran masih berkuat kuasa dan usaha sedang diteruskan untuk mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, rundingan dengan AS berhubung perjanjian akhir tidak akan dimulakan sekiranya ancaman terhadap Iran berterusan.

Menerusi hantaran di platform X semalam, Araghchi berkata, bahagian ke-13 memorandum persefahaman Teheran-Washington adalah jelas dan menegaskan bahawa rundingan mengenai perjanjian akhir tidak akan bermula jika ancaman berterusan.

Beliau turut berkata jutaan rakyat berhimpun bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu di Teheran dan mereka tidak terkesan dengan sebarang ancaman.

Jenazah Khamenei dilaporkan tiba di bandar suci Qom dari Teheran pada malam Isnin. Keranda yang membawa jenazah bekas pemimpin itu tiba beberapa jam selepas lautan manusia memenuhi jalan raya Teheran bagi mengiringi perarakan pengebumiannya..

Jenazahnya akan diterbangkan ke bandar suci Syiah di Najaf dan Karbala, Iraq sebelum dibawa pulang ke Iran dan dikebumikan di Mashhad. 

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington kekal komited untuk berunding bagi mencapai perjanjian nuklear dengan Iran. Namun, beliau memberi amaran tindakan ketenteraan masih menjadi pilihan sekiranya usaha diplomasi gagal.

“Kita sama ada akan mencapai perjanjian atau menyelesaikan tugas ini dan ia tidak sukar untuk diselesaikan. Saya lebih suka mencapai perjanjian kerana saya tidak mahu menjejaskan 91 juta orang (Iran) ,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih kelmarin.

Beliau berkata, AS mampu menyerang infrastruktur kritikal Iran sekiranya rundingan tersebut gagal.

“Kita boleh memusnahkan jambatan mereka dalam tempoh sejam, kita boleh melumpuhkan bekalan tenaga mereka dan mereka tidak mempunyai wang sekarang. Kita tidak akan memberikan mereka wang,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN