Pelabur automotif perlu bina ekosistem tempatan - Utusan Malaysia

Pelabur automotif perlu bina ekosistem tempatan

JOHARI Abdul Ghani (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan MCE Berhad, Dr. Goh Kar Chun (kanan) dan Pengerusi MCE Holdings Bhd., Tan Sri Abdul Rahman Mamat (kiri sekali) ketika majlis pelancaran MCE Auto Hub di Serendah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memperhalusi Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCIM) bagi memastikan pelaburan dalam sektor automotif bukan sekadar membawa masuk modal, sebaliknya turut memperkukuh keupayaan industri tempatan dan membangunkan rantaian bekalan negara.

Ini selari dengan matlamat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk dengan memperkenalkan strategi pelaburan baharu yang memberi penekanan kepada pembangunan industri tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun pasaran domestik Malaysia hanya sekitar 34 juta penduduk, negara dilihat mempunyai kelebihan strategik sebagai hab pembuatan dan pemasangan automotif untuk pasaran serantau.

Katanya, keputusan membangunkan industri automotif sejak lebih tiga dekad lalu bertujuan mewujudkan ekosistem pembuatan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta membangunkan rantaian bekalan tempatan melalui pengeluaran komponen automotif.

“Pelabur yang datang bukan sekadar untuk menjual kenderaan. Mereka perlu komited membina industri di Malaysia, melibatkan PKS tempatan dan membantu membangunkan rantaian bekalan negara.

“Setiap kenderaan mempunyai sekitar 25 hingga 30 komponen utama. Tidak semua komponen perlu dihasilkan dalam negara, namun komponen yang sesuai perlu dibangunkan oleh syarikat tempatan bagi memperkukuh industri sokongan.

“Justeru, kerajaan berharap inisiatif tersebut dapat dilaksanakan seawal tahun hadapan selepas proses penambahbaikan dasar dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MCE Auto Hub di sini semalam.

Beliau turut mengakui pengeluar automotif tempatan seperti Proton dan Perodua berkembang hasil kerjasama strategik dengan rakan teknologi antarabangsa. 

“Kini, kedua-dua syarikat mencatatkan nilai perolehan tahunan melebihi RM30 bilion, dengan lebih RM15 bilion dibelanjakan untuk mendapatkan komponen dan bekalan daripada syarikat tempatan,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, nilai industri komponen automotif negara menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. 

“Nilainya meningkat daripada sekitar RM13 bilion pada 2020 kepada kira-kira RM33.8 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan potensi besar sektor tersebut dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

“Bagaimanapun, kerajaan berpandangan pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi sekiranya PKS tidak menikmati manfaat secara langsung.

“Jika ekonomi berkembang pesat tetapi PKS hanya mencatat pertumbuhan kecil dalam tempoh yang sama, mereka sukar bertahan terutama apabila mengambil kira kesan inflasi,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, landskap industri automotif telah berubah dengan pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya berikutan kemunculan pengeluar kenderaan dari China serta perkembangan pesat kenderaan elektrik (EV).

“Dalam tempoh tersebut, defisit perdagangan Malaysia bagi kenderaan bermotor, termasuk alat ganti dan komponen, meningkat dengan ketara daripada RM13.0 bilion pada 2020 kepada RM33.8 bilion pada 2025.

“Tanpa pendekatan strategik dan berwawasan, terdapat risiko sebenar bahawa pasaran domestik akan semakin didominasi oleh produk import, sekali gus memberi tekanan yang lebih besar terhadap ekosistem pembekal tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN